Perancis pinda had usia untuk kemuka dakwaan rogol

Agensi
Mac 6, 2018 06:35 MYT
Pindaan had umur ini adalah sebahagian daripada beberapa reformasi undang-undang bakal dilaksanakan berhubung keganasan seksual terhadap wanita di bawah pentadbiran Macron - Foto unsplash.com
Perancis dalam proses meminda usia dibenarkan untuk hubungan seksual kepada 15 tahun dan menetapkan mereka yang menjalinkan hubungan dengan individu lebih muda sebagai satu kesalahan rogol.
Menteri Kesaksamaan Marlene Schiappa memaklumkan langkah itu mahu dilaksanakan atas nasihat doktor dan pakar perundangan.
Pindaan had umur berkenaan turut mendapat persetujuan Presiden Emmanuel Macron.
Ketika ini, pihak pendakwa raya perlu membuktikan hubungan seksual dengan individu berusia bawah usia 15 tahun sebagai paksaan untuk mengemukakan kes rogol.
Perubahan ini adalah susulan dua kes lelaki mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Di bawah undang-undang sedia ada, pesalah hanya akan didakwa dengan tuduhan serangan seksual ke atas individu bawah umur, dan bukannya tuduhan rogol sekiranya pendakwa raya tidak dapat membuktikan hubungan seks berkenaan berlaku secara paksaan.
Mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum penjara lima tahun dan denda AS$87,000 (kira-kira RM340,000).
Hukuman bagi serangan seksual sama ada bagi individu bawah umur dan sebaliknya adalah sama, namun sabitan kes rogol boleh menyebabkan hukuman lebih berat.
Pindaan had umur ini adalah sebahagian daripada beberapa reformasi undang-undang bakal dilaksanakan berhubung keganasan seksual terhadap wanita di bawah pentadbiran Macron.
#bawah umur #hubungan seks #Perancis #pinda #rogol
;