Perancis perketat tahap keselamatan susulan serangan di sekolah

Bernama
Oktober 14, 2023 11:22 MYT
Pada Jumaat, kerajaan akan menggerakkan "beberapa ribu lagi" pasukan keselamatan untuk memantau lokasi orang ramai berkumpul. - Reuters
PARIS: Perancis kini diletakkan di bawah amaran keselamatan tahap tertinggi selepas penyerang menikam seorang guru hingga mati dan mencederakan tiga yang lain di bandar Arras, utara Perancis, lapor Xinhua.
Serangan itu berlaku sekitar 11 pagi waktu tempatan (0900 GMT) pada Jumaat di Sekolah Tinggi Gambetta.
"Dalam konteks semasa dan selepas serangan pengganas di Arras, saya telah memutuskan untuk meningkatkan keselamatan (persediaan) kepada tahap darurat serangan," tulis Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne di media sosial.
Bercakap kepada televisyen TF1, Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin berkata terdahulu pada Jumaat kerajaan akan menggerakkan "beberapa ribu lagi" pasukan keselamatan untuk memantau lokasi orang ramai berkumpul.
Mengenai suspek yang melakukan serangan dengan pisau itu, Darmanin berkata individu tersebut berusia kira-kira 20 tahun dan telah dikenal pasti oleh perkhidmatan keselamatan Perancis sebagai imvidu yang terlibat dengan aktiviti radikal.
"Kami mengesyaki sesuatu," kata menteri itu, sambil menambah bahawa telefon lelaki itu telah dipantau selama beberapa hari sebelum kejadian tetapi tidak ada petunjuk mengenai rancangan serangan.
Pendakwa raya kes antikeganasan Jean-Francois Ricard memberitahu sidang media pada Jumaat bahawa penyerang itu adalah bekas pelajar sekolah berkenaan.
-- BERNAMA
#Perancis #serangan #sekolah #keselamatan