Perancis perintahkan penarikan iPhone 12 dari pasaran
Astro Awani
September 14, 2023 10:00 MYT
September 14, 2023 10:00 MYT
PARIS: Kerajaan Perancis telah memerintahkan Apple Inc untuk menarik balik penjualan model iPhone 12 dari pasaran di negara itu, dengan alasan ia mengeluarkan tahap radiasi elektromagnetik yang terlalu tinggi.
Agensi Frekuensi Kebangsaan (ANFR) dalam satu kenyataan pada Selasa menggesa Apple untuk melaksanakan semua cara yang ada untuk memperbaiki gangguan ini dengan segera.
ANFR beperanan mengawasi frekuensi radio-eletrik serta pendedahan awam terhadap radiasi elektromagnetik.
Kemaskini pembaikan model iPhone 12 akan dipantau oleh agensi tersebut, dan jika mereka tidak berhasil, Apple terpaksa menghentikan penjualan model berkenaan, dan menarik produk itu dari pasaran Perancis.
Sementara itu, Menteri Peralihan Digital dan Telekomunikasi, Jean-Noel Barrot di platform X berkata, pemasaran iPhone 12 telah dihentikan di Perancis sehingga Apple menawarkan kemas kini untuk semua peranti yang terjejas.
Sebelum itu, ANFR memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa baru-baru ini ia menyemak kadar penyerapan khusus (SAR) 141 telefon, termasuk iPhone 12.
SAR mengukur tenaga yang dikeluarkan oleh gelombang elektromagnet dan diserap oleh tubuh manusia.
Di Eropah, apabila telefon dipegang di tangan atau dalam poket seluar, ia mesti mempunyai tahap sinaran 4 watt sekilogram, manakala ANFR mendedahkan bahawa jumlah sinaran dikeluarkan iPhone12 sekitar 5.74 w/kg.