Perancis mula undur tentera dari Mali
Bernama
Jun 14, 2022 16:56 MYT
Jun 14, 2022 16:56 MYT
PARIS: Perancis mula mengundurkan tenteranya dari Mali dengan menyerahkan pangkalan Menaka kepada pihak berkuasa negara itu, lapor Agensi Anadolu.
"Penyerahan kuasa dilakukan secara teratur, selamat dan telus. Operasi Barkhane itu menyediakan kawalan keselamatan di wilayah Tiga Sempadan dan Liptako Selatan," menurut ciapan kakitangan am pertahanan di Twitter.
Pengunduran itu adalah sebahagian kerangka kerja yang ditetapkan Presiden Perancis Emmanuel Macron, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.
Perancis telah mengerahkan kira-kira 4,600 tentera di bawah Operasi Barkhane yang dilancarkan pada 2014 bagi memerangi keganasan di negara Kumpulan Lima (G5) iaitu Mali, Niger, Burkina Faso, Chad dan Mauritania.
Tentera Perancis kini sedang memindahkan logistiknya dari Menaka ke Pangkalan Udara Unjuran (BAP) Niamey di Niger dan akan meneruskan operasi antikeganasan di wilayah Sahel.
Tentera Perancis telah melabur beberapa juta euro dalam projek pembangunan infrastruktur penting melibatkan pendidikan, belia dan kesihatan penduduk tempatan yang menyokong Pasukan Barkhane untuk menjalankan operasi itu.
Pada April, selepas tentera Perancis menyerahkan pangkalan tentera di Gossi, tentera Mali menuduh Perancis menyembunyikan "kubur besar" di premis itu.
Perancis bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Kerajaan Mali pada Mei telah membatalkan perjanjian kerjasama pertahanan yang mengawal status anggota pasukan Perancis (SOFA) serta mengarahkan pasukan tentera itu serta tentera Eropah di bawah Takuba meninggalkan negara itu.
-- BERNAMA