Perancis mula kuat kuasa larangan penggunaan bungkusan plastik pada buah dan sayur
Agensi
Januari 1, 2022 18:20 MYT
Januari 1, 2022 18:20 MYT
PARIS: Undang-undang baharu yang melarang pembungkus plastik pada kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran, berkuat kuasa di Perancis bermula hari ini.
Timun, limau dan buah oren adalah antara 30 barangan yang dilarang dibungkus dengan plastik.
Buah atau sayuran dalam pek yang besar serta buah yang dipotong atau diproses dikecualikan dari peraturan ini.
Presiden Emmanuel Macron menganggap larangan itu sebagai revolusi sebenar sekali gus menunjukkan komitmen Perancis untuk menghapuskan penggunaan plastik pakai buang menjelang 2040.
Lebih satu pertiga daripada produk buah-buahan dan sayur-sayuran di Perancis dijual dalam pembungkus plastik, dan pihak berkuasa percaya larangan itu boleh membantu mengelak penggunaan satu bilion barangan plastik setiap tahun.
Dalam satu kenyataan mengumumkan undang-undang baharu itu, Kementerian Alam Sekitar berkata Perancis menggunakan "jumlah plastik yang keterlaluan" dan larangan baharu itu bertujuan untuk mengurangkan penggunaan plastik pakai buang dan menggantinya dengan bahan lain atau pembungkusan yang boleh dikitar semula.
Larangan itu, yang merupakan sebahagian daripada pelan beberapa tahun yang diperkenalkan oleh kerajaan Macron, akan menyaksikan plastik semakin kurang digunakan dalam pelbagai industri.
Pada 2021, negara itu mengharamkan penyedut minuman plastik, cawan dan kutleri plastik, serta kotak polisterin.
Bermula tahun ini juga, ruang kegunaan awam perlu menyediakan sumber air (fountain) bagi mengurangkan penggunaan botol plastik dan restoran makanan segera pula tidak lagi akan dapat menawarkan mainan plastik percuma.