Perancis Memilih: Emmanuel Macron pertahan jawatan Presiden

Astro Awani
April 24, 2022 07:00 MYT
Emmanuel Macron meraikan kemenangannya bersama penyokong beliau di Paris. - Foto AP
PARIS: Emmanuel Macron mengekalkan jawatan Presiden selepas menewaskan calon haluan kanan, Marine Le Pen dalam pemilihan Presiden yang berlangsung pada Ahad.
Keputusan akhir pada Ahad menunjukkan, Macron, 44, memperolehi 58.8 peratus undi, berbanding 41.2 peratus undi yang diterima pencabar Le Pen.
Proses demokrasi ini adalah persaingan lebih sengit antara mereka berdua berbanding pada 2017.
Dengan kemenangan itu, Macron menempa sejarah menjadi Presiden pertama di Perancis yang dipilih semula dalam tempoh 20 tahun.
Penyokongnya bersorak gembira selepas keputusan dipaparkan di Taman Champ de Mars, berdekatan dengan Eiffel Tower.
Pemimpin di Berlin, Brussels, London dan seluruh dunia menyambut baik kemenangan pemimpin dari parti Republik itu.
Dalam ucapannya selepas meraih kemenangan, Macron berikrar untuk melakukan perubahan lebih baik di Perancis selepas melalui lima tahun yang sukar.
"Ramai di negara ini mengundi saya bukan kerana mereka menyokong dasar saya tetapi mereka mahu menyingkirkan mereka di sayap kanan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka dan saya tahu saya terhutang budi kepada mereka.
"Tiada siapa di Perancis akan dipinggirkan," katanya.
Kos sara hidup yang kian meningkat disebabkan pandemik serta perang di Ukraine telah mencetuskan krisis ekonomi dalam kalangan rakyat Perancis terutamanya antara golongan miskin.
Penganalisis melihat, di sebalik kritikan hebat ke atasnya, lebih-lebih lagi cara beliau tangangi kelemahan ekonomi akibat COVID-19, kemenangan Macron banyak disumbang oleh undi anak muda.
Ramai menjangkakan pengundi akan beralih kepada Le Pen, berdasarkan kepada sentimen semasa kempen, tetapi sokongan kuat daripada golongan muda menukar rentak dan corak pengundian.
Ini merupakan cubaan kali ketiga Le Pen bertanding untuk jawatan Presiden.
#Emmanuel Macron #Marine Le Pen #Perancis Memilih #presiden
;