Perancis lanjutkan ujian COVID-19 bagi pelancong dari China
Astro Awani
Januari 29, 2023 13:00 MYT
Januari 29, 2023 13:00 MYT
PARIS: Perancis memutuskan untuk melanjutkan ujian COVID-19 terhadap pelancong yang tiba dari China sehingga 15 Februari berikutan beberapa situasi dan perkembangan terbaharu.
Ujian itu pada mulanya ditetapkan sehingga 31 Januari sahaja.
Sejak awal tahun ini, pengembara berusia lebih 11 tahun dan datang dari China ke Perancis terpaksa mengemukakan ujian negatif yang diambil 48 jam sebelum penerbangan untuk menaiki pesawat.
Pihak berkuasa berkata, ujian rambang akan dijalankan dan individu yang didapati positif perlu mengasingkan diri.
Selain itu, setiap orang yang berumur 6 tahun ke atas perlu memakai pelitup muka di dalam pesawat.
Beberapa negara mengenakan peraturan perjalanan baharu ke atas pelancong dari China selepas Beijing memutuskan untuk melonggarkan sekatan virus yang ketat.
China menyatakan jumlah kematian harian COVID-19 menurun hampir 80 peratus sejak awal bulan ini.
Gelombang kes COVID-19 melanda negara paling ramai penduduk di dunia itu sejak Beijing secara tiba-tiba menamatkan dasar 'Sifar-COVID' bulan lalu.
Angka yang dikeluarkan Beijing dipercayai hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah sebenar, memandangkan definisi sempit China mengenai kematian COVID-19 dan anggaran rasmi sebahagian besar penduduk dijangkiti.