Perancis kini larang anak ayam jantan dilupus secara cincang
Razak Chik
Januari 30, 2020 20:26 MYT
Januari 30, 2020 20:26 MYT
TAHUKAH anda industri ternakan ayam sedunia melupus sekitar tujuh bilion anak ayam yang baru menetas sejurus 'kejantanan' dikenal pasti?
Cara melupus amat mudah – digilis dalam mesin pengisar (proses yang dipanggil maceration) atau disembur gas dalam ruang tertutup.
Semua itu dilakukan sejak sekian lama kerana ayam jantan tidak diperlukan dalam jumlah yang banyak kerana disifatkan sebagai kurang memberi hasil daging dan tidak bertelur.
Mulai tahun 2021, Perancis mengambil keputusan menghentikan amalan ini sebagai langkah reformasi kebajikan haiwan.
Menurut Menteri Pertanian Perancis Didier Guillaume, satu cara perlu diwujudkan agar jantina anak ayam dapat ditentukan sebelum telur menetas.
Ini dapat mengelak proses pengasingan jantan-betina selepas penetasan yang memakan masa dan merugikan penternak. Anak ayam jantan dilupuskan kerana pertumbuhan agak lambat dan tidak bertelur.
Proses pelupusan yang disebut maceration disifatkan pencinta haiwan sebagai tidak bertamadun dan sepatutnya tidak lagi digunakan.
Dengan pengharaman ini, Perancis mengikuti langkah Sweden yang sudah memberhentikan maceration pada 2019. Jerman pula telah meluluskan undang-undang menghentikan teknik perlupusan yang sama dengan syarat cara alternatif dapat diwujudkan sebagai pengganti. Selagi alternatif belum dijumpai, teknik itu boleh diguna tanpa halangan.
Apabila ditekan mengapa pengharaman itu tidak berjalan serta-merta, Guillaume menjawab; “Kalau begitu satu Perancis tidak akan bertelur!”
Pelupusan anak ayam jantan (selagi menetas dalam jangka masa 72 jam) secara maceration ini menepati undang-undang yang diluluskan Kesatuan Eropah pada 2009.
Pertubuhan pelindung haiwan PETA (People for the Ethical Treatment of Animals) memuji tindakan itu tetapi menyifatkannya sebagai belum mencukupi.
Industri ternakan ayam berhadapan dengan isu 'battery farming' di mana ayam daging dibesarkan dalam ruang yang sempit dan keadaan yang dianggap tidak ubah seperti suatu penyeksaan.