Perancis, Jerman, Itali, Britain sokong pelan Arab untuk pembinaan semula Gaza
Agensi
Mac 8, 2025 07:30 MYT
Mac 8, 2025 07:30 MYT
Penduduk Palestin menggantung hiasan di sebelah rumah mereka yang musnah sebagai menyambut bulan suci Ramadan di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Gambar AP
ROM: Menteri-Menteri Luar Perancis, Jerman, Itali dan Britain pada Sabtu menyatakan sokongan mereka terhadap pelan yang disokong negara-negara Arab untuk pembinaan semula Gaza, yang dianggarkan menelan kos sebanyak AS$53 bilion dan bertujuan mengelakkan pemindahan penduduk Palestin dari wilayah tersebut.
"Pelan ini menunjukkan jalan yang realistik untuk pembinaan semula Gaza dan menjanjikan - jika dilaksanakan - peningkatan yang cepat dan mampan terhadap keadaan hidup yang semakin teruk bagi rakyat Palestin di Gaza," kata menteri-menteri berkenaan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan.
Pelan ini, yang dirangka oleh Mesir dan diterima pakai oleh pemimpin Arab pada Selasa, telah ditolak oleh Israel serta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang telah mengemukakan visinya sendiri untuk mengubah Semenanjung Gaza menjadi "Riviera Timur Tengah."
Cadangan Mesir itu merangkumi penubuhan sebuah jawatankuasa pentadbiran yang terdiri daripada teknokrat Palestin yang bebas dan profesional, yang akan bertanggungjawab mentadbir Gaza selepas berakhirnya perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab mengawasi bantuan kemanusiaan dan mengurus hal ehwal Gaza untuk sementara waktu di bawah penyeliaan Pihak Berkuasa Palestin.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh keempat-empat negara Eropah itu pada Sabtu menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan inisiatif Arab dan menghargai "isyarat penting" yang telah diberikan oleh negara-negara Arab dengan membangunkan pelan tersebut.
Kenyataan itu juga menyebut Hamas "tidak seharusnya mentadbir Gaza atau menjadi ancaman kepada Israel" selain keempat-empat negara tersebut "menyokong peranan utama Pihak Berkuasa Palestin serta pelaksanaan agenda reformasinya." - Agensi