Perancis, Jerman gesa perketat sempadan selepas serangan
Astro Awani
November 11, 2020 08:10 MYT
November 11, 2020 08:10 MYT
PERANCIS dan Jerman menggesa sempadan Kesatuan Eropah (EU) diperketat susulan serangan keganasan yang berlaku di Paris, Nice dan Vienna dalam masa sebulan.
Beberapa serangan itu membawa kembali perhatian EU terhadap pelampau agama yang sebelum ini reda selepas kekalahan Daesh pada tahun 2017 di Asia Barat.
Gesaan yang dibuat dalam mesyuarat blok EU itu disertai pemimpin Perancis, Austria dan Jerman bagi membincangkan strategi anti-keganasan secara kolektif, pada Selasa.
Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel bertegas, peraturan mengenai perjalanan bebas kawalan ke sempadan terbuka perlu diperhalusi.
Serangan di Nice dan Vienna melibatkan penyerang yang bergerak bebas antara zon tanpa passport.
Kata Macron, ancaman keganasan semakin membimbangkan di Eropah dan tindak balas segera perlu diambil.
Merkel dalam pada itu turut senada dengan Macron.
Beliau menuntut kawalan yang lebih ketat di sepanjang perbatasan luar kawasan zon tanpa pasport, yang menyatukan 26 negara, termasuk kebanyakan anggota EU serta Iceland, Norway, Switzerland dan Liechtenstein.
Sementara itu, Canselor Austria Sebastian Kurz menggesa rancangan yang lebih berkoordinasi untuk tangani militan asing sementara Perdana Menteri Belanda Mark Rutte menekankan untuk menghentikan pembiayaan asing tidak diingini sebagai pelan jangka panjang mengatasi ekstremisme.
Idea lain termasuk mengenakan tuntutan yang lebih ketat terhadap platform dalam talian bagi memerangi ekstremisme, menubuhkan sebuah institusi khas Eropah untuk melatih para imam dan pengusiran individu pendatang asing tanpa izin serta penjenayah disyaki pelampau.