Perancis fikir hina orang, agama lain hak asasi manusia - Dr Mahathir

Agensi
November 30, 2020 18:18 MYT
Dalam temu bual bersama portal The Critic, Dr Mahathir mempertahankan kenyataannya yang mengkritik kerajaan Perancis pimpinan Emmanuel Macron berkaitan isu menghina Nabi Muhammad baru-baru ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perancis berpendapat tindakan provokasi dan menghina orang lain adalah hak asasi manusia sedangkan ia bukanlah begitu kerana kebebasan ada hadnya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam temu bual bersama portal The Critic, Dr Mahathir mempertahankan kenyataannya yang mengkritik kerajaan Perancis pimpinan Emmanuel Macron berkaitan isu menghina Nabi Muhammad baru-baru ini.
Mengambil contoh keadaan di Malaysia, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, rakyat di negara ini tidak saling memprovokasi sehingga akhirnya menimbulkan permusuhan dan mungkin keganasan.
“Anda tidak mendekati seorang lelaki dan mengutuk keluarganya... dan ketika dia berkata, mengapa anda mengatakan demikian, mengapa anda melakukan ini kepada saya... anda tidak boleh menjawab itu hak saya, ini adalah hak asasi manusia, ini kebebasan bersuara.
“Itu tidak masuk akal. Semua kebebasan mempunyai had. Anda tidak boleh menyakiti orang lain dan mengatakan ini adalah hak saya,” katanya memetik laporan portal tersebut.
Tambahnya, adalah tidak adil untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada umat Islam disebabkan kes pembunuhan seorang guru di negara itu baru-baru ini.
Tegas beliau, tragedi itu hanya dilakukan seorang individu, bukan 1.7 bilion umat Islam datang ke Perancis untuk membunuh guru berkenaan.
BACA: Isu karikatur Nabi Muhammad: Umat Islam serata dunia protes
BACA: Isu karikatur Nabi Muhammad: Dr Zulkifli titip surat kepada duta Perancis
“Oleh itu, anda tidak boleh mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh seorang lelaki menggambarkan perasaan 1.7 bilion orang. Anda harus ingat bahawa kita bertindak dan bertindak balas secara berbeza terhadap keadaan yang berbeza.
“Saya mungkin bertoleransi tetapi saya tidak dapat menghentikan sebilangan orang yang tidak bertoleransi. Itulah sebabnya mengapa kita mempunyai jenayah dalam masyarakat kita. Mengapa ada jenayah?
“Orang tahu bahawa mencuri itu salah - tetapi ada yang mencuri. Jadi, untuk menyalahkan masyarakat lain kerana seorang lelaki mencuri adalah sesuatu yang salah,” ujarnya.
Katanya lagi, Perancis sedar hakikat itu namun mereka tetap berusaha menyatakan bahawa membunuh orang lain memang ada diajar dalam Islam.
“Dalam Islam, anda tidak dibenarkan membunuh orang, walaupun mereka bukan Muslim. Anda tidak dibenarkan membunuh orang kerana membunuh satu orang sama seperti membunuh seluruh umat manusia. Itulah yang kita diajar.
“Tetapi reaksi orang tidak selalu sama dan seragam. Sebilangan orang berasa sangat kuat - yang lain berasa tidak apa-apa,” katanya.
#Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Islam #Perancis #karikatur #Nabi Muhammad #nabi #jenayah #keganasan #protes #Emmanuel Macron #Muslim #Malaysia #bunuh #hak asasi
;