Perancis eksperimen galak rakyat berbasikal ke pejabat

Agensi
Jun 3, 2014 15:22 MYT
Tindakan kerajaan Perancis itu mencontohi langkah sama yang dilaksanakan oleh beberapa negara Eropah
Kerajaan Perancis memulakan eksperimen selama enam bulan membayar insentif kepada warganya yang berbasikal ke tempat kerja dalam usaha menggalakkan penggunaan basikal untuk kesihatan rakyat, mengurangkan pencemaran udara dan mengurangkan penggunaan bahan bakar, lapor agensi berita Reuters.
Tindakan kerajaan Perancis itu mencontohi langkah sama yang dilaksanakan oleh beberapa negara Eropah yang lain seperti Netherlands, Denmark, Jerman, Belgium dan Britain. Semua negara itu menawarkan pelbagai insentif seperti potongan cukai, pampasan setiap kilometer serta bantuan kewangan untuk membeli basikal.
Di Perancis, lebih kurang 20 buah syarikat dan institusi yang menggajikan sejumlah 10,000 pekerja telah bersetuju untuk membayar kakitangan mereka sebanyak 25 sen euro (lebih kurang RM1.10) bagi setiap kilometer perjalanan dengan basikal ke tempat kerja, kata Kementerian Pengangkutannya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menteri Pengangkutan Perancis, Frederic Cuvillier berkata eksperimen itu akan diperluaskan sekiranya langkah pertama ini menunjukkan hasil yang positif.
Pihaknya berharap skim insentif berbasikal ke tempat kerja ini akan meningkatkan penggunaan basikal sehingga 50 peratus berbanding 2.4 peratus daripada semua jenis pengangkutan dari rumah ke tempat kerja sekarang.
#basikal #insentif #Paris #Perancis
;