Perancis buka pintu ke arah pengiktirafan negara Palestin

Agensi
Februari 17, 2024 10:45 MYT
Presiden Emmanuel Macron menyambut kunjungan Raja Abdullah di Istana Elysee di Paris, pada Jumaat. - Gambar AP
PARIS: Perancis membuka pintu ke arah pengiktirafan negara Palestin dan menganggap ia bukan lagi satu perkara yang dianggap tabu.
Presidennya, Emmanuel Macron berkata, Paris boleh membuat keputusan jika usaha untuk penyelesaian dua negara terhenti kerana bangkangan Israel.
Pengiktirafan Perancis secara unilateral tidak akan banyak membantu mengubah keadaan di lapangan tanpa rundingan yang benar tetapi akan memberi kesan secara simbolik dan diplomatik.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menyuarakan penentangan terhadap kedaulatan Palestin.
Netanyahu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kawalan keselamatan Israel sepenuhnya di barat Jordan dan ini bertentangan dengan negara Palestin.
Penggubal undang-undang Perancis mengundi pada 2014 untuk menggesa kerajaan mereka mengiktiraf Palestin satu tindakan simbolik yang mempunyai sedikit kesan terhadap pendirian diplomatik Perancis.
Komen Macron ini merupakan kenyataan kali pertama seorang pemimpin Perancis membuat cadangan sedemikian dan menyerlahkan gesaan pemimpin barat ketika angka korban di Gaza akibat keganasan Israel meningkat kepada 28,000.
Menurut Macron, Paris dan rakan kongsi terutamanya Jordan sedang mengusahakan secara bersama penyelesaian dua negara.
"Kami bersedia untuk menyumbang kepadanya, di Eropah dan di Majlis Keselamatan.
"Pengiktirafan negara Palestin bukanlah satu taboo bagi Perancis.
"Kami berhutang kepada rakyat Palestin, yang aspirasinya telah diinjak-injak terlalu lama. Kami berhutang kepada orang Israel yang hidup melalui pembunuhan beramai-ramai anti-Semit terbesar abad kami.
"Kami berhutang kepada wilayah yang rindu untuk melarikan diri dari huru-hara dan mereka yang menabur dendam," katanya ," kata Macron dalam kenyataan bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II di Paris..
Macron dan Raja Abdullah mengadakan pertemuan di Paris pada Jumaat.
Kenyataan Macron ini mungkin bertujuan untuk menambah tekanan ke atas Israel.
Walaupun sebilangan besar negara membangun mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, kebanyakan negara Eropah Barat pula tidak selesa dengan alasan bahawa negara Palestin yang merdeka harus muncul daripada rundingan dengan Israel.
Macron menambah, serangan Israel di Rafah hanya boleh membawa kepada bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan akan menjadi titik perubahan dalam konflik itu. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Perancis iktiraf Palestin #Emmanuel Macron #israel serang gaza
;