Perancis akan benarkan bahan api dijual dengan harga murah
Bernama
September 17, 2023 12:30 MYT
September 17, 2023 12:30 MYT
PARIS: Perancis akan membenarkan pengedar menjual petrol pada harga murah untuk tempoh beberapa bulan, kata Perdana Menteri Elisabeth Borne pada Sabtu, lapor Sputnik.
"Mereka tidak boleh menurunkan harga lagi kerana undang-undang melarang mereka menjual pada harga murah sejak 1963.
"Hari ini saya mengumumkan kepada anda bahawa untuk bahan api sahaja dan untuk tempoh terhad beberapa bulan, kami akan menarik balik larangan itu, sekali gus membolehkan pengedar mengurangkan harga dengan lebih murah," kata Borne.
Beliau berkata langkah itu akan membantu mencapai hasil ketara untuk Perancis tanpa memberi subsidi bahan api.
Sejak 2022, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh Perancis bagi menangani kenaikan harga bahan api.
Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan mahu semua pihak bertanggungjawab, seperti syarikat tenaga TotalEnergies yang mengehadkan harganya pada 1.99 euro (AS$2.12) seliter atau peruncit besar yang beroperasi pada kos.
Harga petrol di Perancis meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan di beberapa stesen minyak, harga sudah melebihi 2 euro seliter.
Awal minggu ini, pemandu di Paris memberitahu RIA Novosti bahawa mereka tidak lagi mampu untuk mengisi penuh tangki minyak dan memiliki kereta kini tidak lagi menguntungkan.
-- BERNAMA