Peralatan penulen udara ditempatkan di Taj Mahal
Bernama
November 4, 2019 11:54 MYT
November 4, 2019 11:54 MYT
Pihak berkuasa Uttar Pradesh mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan peralatan penulen udara di Taj Mahal bagi melindungi destinasi ikonik itu ekoran kualiti udara yang semakin buruk di India.
Peralatan penulen udara itu mempunyai kapasiti untuk membersihkan 1.5 juta meter padu udara dalam masa lapan jam dalam jarak 300 meter, memetik media tempatan pada Ahad.
Monumen abad ke-17, terletak kira-kira 220 kilometer dari New Delhi itu dibina maharaja Shah Jahan antara 1632 dan 1654 untuk isterinya Mumtaz Mahal.
Sejak beberapa dekad Taj Mahal turut berdepan masalah pencemaran alam sekitar disebabkan asap industri, debu selain kotoran di sungai Yamuna yang dicemari dengan sisa kumbahan.
Pada masa sekarang, Agra dan Delhi adalah antara bandar di utara India yang berdepan pencemaran udara berbahaya dan dianggap membahayakan kesihatan manusia.
Kerajaan New Delhi pada Ahad meminta orang ramai untuk tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal di luar kerana pencemaran udara mencatatkan paras terburuk tahun ini.
Pada Jumaat pihak kerajaan turut mengeluarkan arahan melarang kerja-kerja pembinaan dilakukan selain sekolah ditutup sehingga Selasa.
Data kualiti udara menunjukkan 15 dari 20 bandar paling tercemar di dunia terletak di India.
-- BERNAMA
#alam sekitar
#asap industri
#India
#kerajaan
#kerja pembinaan
#kesihatan
#kualiti udara
#langkah berjaga-jaga
#New Delhi
#pencemaran
#penulen udara
#sekolah
#sisa kumbahan
#Sungai
#Taj Mahal