Perakam suara kokpit ditemukan di lokasi nahas pesawat Brazil

Bernama
Ogos 10, 2024 20:37 MYT
Para petugas sedang menjalankan pemeriksaan teliti di lokasi nahas pesawat di Vinhedo, Sao Paolo. - Reuters
RIO DE JANEIRO: Pihak berkuasa Brazil menemukan perakam suara kokpit daripada serpihan pesawat yang terhempas di kawasan perumahan di Vinhedo, Sao Paulo, dengan 61 orang di dalam pesawat, lapor Agensi Berita Jerman dpa dengan memetik tentera udara Brazil lewat Jumaat.
Tiada seorang pun yang terselamat dalam kemalangan itu, yang berlaku pada petang Jumaat.
Punca kemalangan itu pada mulanya tidak jelas. Tentera udara berkata perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan, yang juga telah dipulihkan, akan diperiksa secepat mungkin namun memberi amaran keputusan itu bergantung pada tahap kerosakan yang dialami.
Perakam suara merakam perbualan di kokpit manakala perakam data menjejaki data penerbangan.
Pesawat ATR 72 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Brazil Voepass sedang dalam perjalanan dari Cascavel di negeri Parana ke Sao Paulo apabila ia terhempas di kawasan perumahan di Vinhedo sejurus sebelum sampai ke destinasinya.
Data daripada platform Flightradar 24 menunjukkan pesawat itu menurun hampir 4,000 meter dalam masa kurang daripada satu minit.
Sesetengah pakar percaya bahawa ais mungkin telah terbentuk pada sayap, yang boleh mengubah pesawat menjadi "batu tanpa daya momentum," menurut laporan laman web berita Brazil Uol.
Amaran mengenai kemungkinan pembentukan ais telah dikeluarkan untuk lokasi nahas itu, menurut laporan berkenaan.
Pakar lain tidak menolak kemungkinan beberapa punca mungkin menyebabkan nahas itu.
-- BERNAMA
#nahas pesawat #Brazil #perakam suara kokpit #Sao Paolo
;