Peragawati 14 tahun meninggal dunia selepas dipaksa bekerja 13 jam
Madiha Abdullah
Oktober 29, 2017 20:27 MYT
Oktober 29, 2017 20:27 MYT
SEORANG peragawati muda berusia 14 tahun dari Rusia meninggal dunia selepas terbabit dalam satu pertunjukan fesyen yang mengambil masa selama 13 jam.
Vlada Dzyuba, merupakan salah seorang peragawati utama dalam pertunjukan fesyen Shanghai Fashion Week, dan sudah tiga bulan berada di China atas urusan kerja.
Dzyuba pengsan sejurus sebelum memulakan acara catwalk dan dikejarkan ke hospital.
Selepas dua hari berada dalam keadaan koma, Dzyuba disahkan meninggal dunia Jumaat lalu.
Dzyuba dikatakan mengalami kenaikan suhu badan yang mendadak sebelum memulakan pertunjukan.
Media melaporkan, punca kematiannya adalah meningitis dan keletihan yang melampau.
Ibu Dzyuba, Oksana memberitahu portal Daily Mail yang anaknya ada menghubunginya sebelum itu dan mengadu keletihan.
"Dia menangis dan memberitahu saya dia sangat penat dan mahu tidur. Saya minta dia ke hospital tapi dia takut," kata Oksana.
Dzyuba dikatakan keberatan untuk ke hospital kerana terikat dengan kontrak.
Pihak berkuasa kini sedang memeriksa kandungan kontrak yang didakwa berat sebelah.
Media Rusia melaporkan Dzyuba merupakan salah seorang mangsa 'buruh paksa' apabila kontrak peragaan yang diberikan kepadanya langsung tidak menyentuh perihal insuran dan perlindungan kesihatan.
Mengikut undang-undang, Dzyuba sepatutnya hanya boleh bekerja selama tiga jam seminggu.
Wakil agensi peragaan yang mewakili Dzyuba memberitahu mereka tidak menyangka situasi akan menjadi seburuk itu.
"Memang kami tidak memeriksa dengan teliti kontrak yang ditandatanganinya dan itu kesilapan di pihak kami," kata wakil itu.
#catwalk
#China
#keletihan
#kenaikan suhu badan
#kesihatan
#meninggal dunia
#peragawati
#pertunjukan fesyen
#Russia
#Shanghai Fashion Week
#undang-undang
#Vlada Dzyuba