Penyunting visual Metro TV ditemukan mati tertiarap dalam parit
Afiq Ariffin
Julai 11, 2020 07:32 MYT
Julai 11, 2020 07:32 MYT
Penyunting visual Metro TV Indonesia yang ditemukan meninggal dunia di Pesanggrahan, Jakarta Selatan merupakan mangsa pembunuhan.
Polis mengesahkan perkara tersebut pada Sabtu.
Mayat Yodi Prabowo ditemukan tertiarap di dalam parit berhampiran Jalan Ulujami Raya pada Jumaat.
Mangsa ditemukan masih memakai topi keledar serta kasut berhampiran bahu jalan dekat tol berhampiran.
"Hasil autopsi dari Rumah Sakit Polisi mendapati waktu kematiannya adalah dua atau tiga hari sebelum mayatnya yang membusuk itu ditemukan dekat jalan tol," kata Ketua Jurucakap Polis Jakarta, Komisaris Yusri Yunus dalam satu sidang media.
"Kami juga menemukan luka di leher dan dada mangsa, serta terdapat kesan hentakan di lehernya," tambahnya.
Berikutan itu, Ketua Polis Jakarta Insp Jeneral Nana Sudjana memerintahkan unit penyiasatan jenayah membentuk pasukan khas dalam menyiasat kes pembunuhan itu.
"Kami telah menyoal 12 saksi termasuk saudara-mara dan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa," kata Yusri.
Polis juga menolak dakwaan rompakan sebagai motif pembunuhan kerana barang-barang peribadi masih ada bersama mayat mangsa termasuk dompet, telefon bimbit dan skuternya.
Pisau dapur, dipercayai senjata pembunuh, dijumpai di tempat kejadian, kata pegawai itu.
Siasatan tempat kejadian turut dilakukan semula pada Sabtu dengan polis mengerahkan unit anjing K-9 untuk mencari lebih banyak bukti.
Yodi, 26, bekerja sebagai penyunting visual bagi agensi berita Metro TV selama empat setengah tahun.
Difahamkan dia terakhir kali dilihat di pejabatnya pada Selasa ketika sedang bekerja hingga sekitar jam 10.30 malam, kata Ketua Pengarang Metro TV Don Bosco Selamun pada Jumaat.
Sejak itu, mangsa hilang dan pihak majikan mengambil keputusan menghubungi keluarganya.
#luka di leher dan dada
#Metro TV
#Metro TV Indonesia
#Pembunuhan
#penyunting visual
#Rumah Sakit Polisi
#Yodi Prabowo
#Yusri Yunus