Penyokong Newcastle cedera ditikam menjelang aksi Liga Juara-Juara di Itali
Bernama
September 19, 2023 00:23 MYT
September 19, 2023 00:23 MYT
LONDON: Kelab England, Newcastle menyuarakan kebimbangan mereka berhubung laporan seorang penyokongnya ditikam di Milan pada Isnin malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Seorang lelaki berusia 58 tahun dipercayai diserang oleh sekumpulan lelaki di pusat bandar sebelum perlawanan Liga Juara-Juara antara Magpies dengan AC Milan pada Selasa.
Gambar yang dimuat naik dalam talian menunjukkan seorang lelaki dengan badan berlumuran darah terbaring di tanah.
Seorang jurucakap Newcastle berkata: "Kami amat bimbang dengan laporan bahawa seorang penyokong telah diserang secara serius di Milan pada Isnin malam dan kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk memahami keadaan.
"Ingatan kami bersama penyokong dan keluarganya, dan kami berharap agar penyokong itu pulih sepenuhnya dengan cepat."
Milano Today melaporkan lelaki itu telah ditikam dua kali di bahagian lengan dan sekali di belakang selain telah dibawa ke hospital, di mana keadaannya semakin baik.
-- BERNAMA