Penyokong Jokowi kecam Najwa Shihab, dakwa lakukan buli siber ke atas menteri
Agensi
Oktober 7, 2020 11:07 MYT
Oktober 7, 2020 11:07 MYT
INGAT lagi kisah wartawan Indonesia, Najwa Shihab yang menemu bual kerusi kosong dalam siaran langsung di televisyen?
Ternyata insiden itu tidak digemari penyokong kepada Jokowi yang menamakan diri mereka Relawan Jokowi Bersatu, menyatakan mereka ‘terluka’ dengan tindakan Najwa itu.
Susulan itu, mereka membuat laporan polis pada Selasa, mendakwa Najwa melakukan buli siber terhadap Menteri Kesihatan, Terawan Agus Putranto.
Minggu lepas, tindakan Najwa menemu bual kerusi kosong, kononnya sedang menemu bual Terawan tular di media sosial kerana tindakannya itu dianggap lain daripada yang lain.
“Temu bual kerusi kosong itu melukakan hati kami sebagai penyokong presiden kerana Terawan juga mewakili Joko Widodo,” kata wakilnya, Silvia Devi Soembarto.
Tambahnya, mereka bimbang tindakan itu mewujudkan fenomena baru yang tidak sihat dalam kalangan media yang selepas ini mungkin berminat untuk melakukan parodi seperti itu.
“Parodi seperti itu tidak boleh dilakukan kepada pemimpin negara,” tegas Silvia Devi.
Banyak pihak, termasuk dari kalangan sesetengah penggiat media turut berpendapat, bahawa perkara yang dilakukan Najwa itu memang ada baik dan buruknya.
Meskipun niatnya untuk mencari jawapan terhadap isu menangani pandemik yang sedang dibimbangi rakyat, kaedah 'temu bual kerusi kosong' itu juga menjadi medan melemparkan pelbagai persoalan yang belum dijawab oleh subjeknya, iaitu Terawan.
Kekosongan jawapan itulah yang menjadi peluang untuk diisi dengan pelbagai tanggapan negatif terhadap menteri berkenaan.
Itu sekaligus menimbulkan lebih banyak spekulasi dan pembunuhan karakter yang pastinya tidak langsung berpihak atau dapat ditepis oleh Terawan.
Tindakan Najwa sebelum ini dikatakan kerana beliau dan pihak produksi Mata Najwa kecewa dengan Terawan yang berkali-kali menolak undangan untuk muncul dalam rancangan tersebut.
Mata Najwa edisi 'Menanti Terawan' itu telah mendapat lebih 3 juta tontonan.
Ketika menemu bual kerusi kosong itu, Najwa secara sinis mengatakan menteri kesihatan Indonesia itu merupakan yang paling low profile dalam menangani pandemik COVID-19.
Najwa juga secara sinis mendesak Terawan agar melepaskan jawatannya kerana dianggap gagal menjalankan tugas.
#Najwa Shihab
#Jokowi
#Joko Widodo
#Terawan
#kerusi kosong
#Indonesia
#wartawan
#polis
#media sosial
#presiden
#menteri
#buli
#pandemik
#buli siber
#terluka