Penyokong Israel di New York tuntut pembebasan tebusan

Astro Awani
Jun 2, 2024 07:40 MYT
Seorang anggota polis dilihat meleraikan pertengkaran antara penyokong Palestin dan penyokong Israel di Fifth Avenue, New York. - Foto AP
NEW YORK: Ribuan penyokong Israel berarak di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad bagi menyambut Hari Israel dan menuntut pembebasan tebusan yang ditahan Hamas dalam serangan 7 Oktober.
Perarakan yang dilakukan di beberapa jalan di Manhattan itu menarik ahli politik kanan termasuk Ketua Majoriti Senat Chuck Schumer dan Gabenor New York, Kathy Hochul.
Penganjur perarakan tahun ini menumpukan perhatian kepada berpuluh-puluh tebusan yang mana sebahagian daripada mereka adalah warga AS.
Mereka mendakwa kesemua tebusan itu terus ditahan oleh Hamas hampir 8 bulan selepas pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas Israel dan membunuh lebih 1,200 orang.
Alasan tersebut digunapakai rejim Israel untuk bertindak balas dengan melancarkan operasi ketenteraan di Gaza sehingga membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin.
Acara itu menampilkan sejumlah ahli keluarga beberapa tebusan, termasuk Ronen Neutra, bapa kepada Omer Neutra berusia 22 tahun, warga AS kelahiran New York, yang berkhidmat sebagai komander kereta kebal Israel berhampiran Gaza pada 7 Oktober lalu.
Neutra merupakan salah seorang mangsa yang dipercayai telah ditawan oleh Hamas.
#perarakan #pro-Israel #tebusan #Hamas
;