Penyokong Imran Khan tiba di Islamabad walaupun berlaku kematian dan pertempuran

Bernama
November 26, 2024 06:00 MYT
Penyokong parti Imran Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf, mengadakan perhimpunan menuntut beliau dibebaskan, di Islamabad, Pakistan, 26 Nov 2024. REUTERS
ISLAMABAD: Pertempuran antara penyokong bekas Perdana Menteri, Imran Khan yang dipenjara dengan polis dan renjer separa tentera yang meragut beberapa nyawa pada Selasa, memaksa kerajaan meminta bantuan tentera bagi mengembalikan ketenteraman.
Penunjuk perasaan akhirnya tiba di D-Chowk, yang terletak lebih 100 meter dari Parlimen Pakistan di Islamabad, lapor Agensi Anadolu (AA).
Video dimuat naik di media sosial oleh penyokong Imran menunjukkan penunjuk perasaan meraikan ketibaan mereka di D-Chowk dalam "Zon Merah," tempat berkumpulnya protes yang diumumkan oleh parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), pada hari ketiga bantahan yang bermula serentak di seluruh negara.
Awal pagi Selasa, kerajaan memanggil tentera untuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman susulan laporan tentang pertempuran dan keganasan di pintu masuk ibu negara Pakistan itu.
Menurut Radio Pakistan yang dikendalikan oleh kerajaan, empat anggota renjer separa tentera dan dua anggota polis terbunuh dalam keganasan itu, manakala PTI mendakwa melalui media sosial kedua-dua pasukan itu menembak 20 penyokong yang tidak bersenjata, dengan jumlah korban terus meningkat.
Pasukan keselamatan dilihat memberi amaran kepada penunjuk perasaan melalui pembesar suara tiada sesiapa yang dibenarkan memasuki D-Chowk atau mana-mana bangunan kerajaan dan mereka diminta untuk merakamkan protes aman mereka.
Pemimpin PTI, termasuk bekas Menteri Persekutuan, Murad Saeed dan jurucakap parti, Sheikh Waqas Akram, turut menggesa penyokong untuk mengadakan protes duduk secara aman di D-Chowk.
Sebelum itu, konvoi utama yang terdiri daripada ribuan kenderaan memulakan perarakan pada Ahad dari Peshawar, ibu negeri wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KP) di barat laut, dan akhirnya memasuki Islamabad pada pagi Selasa.
Ratusan ribu orang dari seluruh Pakistan berarak menuju Islamabad sejak lewat Sabtu.
Penunjuk perasaan diketuai Ketua Menteri, KP Ali Amin Gandapur dan isteri Imran, Bushra Bibi.
Liaqat Ali, penasihat kepada Ketua Menteri, Khyber Pakhtunkhwa, berkata kepada Anadolu: "Kami akhirnya sampai di Islamabad dan kini perlahan-lahan bergerak ke D-Chowk, di mana kami akan mengadakan demonstrasi duduk secara aman."
D-Chowk ialah tempat utama di hadapan Bangunan Parlimen, yang juga menghubungkan ke Rumah Presiden, Rumah Perdana Menteri dan Mahkamah Agung Pakistan.
Kerajaan mengisytiharkan kawasan itu sebagai "Zon Merah," dengan alasan tiada protes dibenarkan di situ berikutan lokasi pelbagai bangunan penting yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, isteri Imran, Bushra Bibi berkata, pekerja PTI akan sampai di D-Chowk dan mengadakan protes secara aman di situ sehingga Imran Khan dibebaskan.
Kerajaan mengerahkan tentera di ibu negara Islamabad untuk melindungi bandar itu ketika Presiden Belarus Aleksandr Lukashenko juga tiba pada petang Isnin untuk lawatan tiga hari ke Pakistan.
Tentera dikerahkan untuk memastikan keselamatan, lapor Radio Pakistan yang dikelola oleh kerajaan.
Pihak berkuasa juga memperlahankan Internet dan media sosial tidak berfungsi dengan baik.
Tentera juga diberi kuasa untuk mengenakan perintah berkurung di mana-mana kawasan yang difikirkan perlu untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman.
Tentera diarahkan untuk mengambil langkah tegas, termasuk menembak perusuh di tempat kejadian, sekiranya "keadaan bertambah buruk."
Pada pagi Selasa, pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan polis di dalam dan luar Islamabad apabila ribuan peserta perarakan tiba di persimpangan Lebuhraya Islamabad.
Rakaman video di televisyen dan media sosial menunjukkan polis melepaskan gas pemedih mata ketika ahli parti PTI pimpinan Imran cuba memasuki bandar Islamabad.
Menurut media yang dikendalikan negara, sekurang-kurangnya enam anggota keselamatan terbunuh sejak Isnin semasa protes tercetus, apabila kerajaan menuduh ahli parti PTI menyerang anggota pasukan tentera.
Namun, PTI menolak dakwaan itu sebaliknya berkata anggota separa tentera itu terbunuh selepas dilanggar oleh kenderaan Renjer Pakistan.
Parti itu juga mendakwa sekurang-kurangnya 20 penunjuk perasaan ditembak oleh pasukan separa tentera, dengan jumlah korban meningkat, PTI juga menuduh kerajaan menembak penunjuk perasaan dari helikopter.
Namun, tiada sumber bebas yang dapat mengesahkan dakwaan itu kepada Anadolu dan kerajaan menafikan dakwaan itu.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dan Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi mengutuk kematian yang berlaku dan mengarahkan agar pihak yang bertanggungjawab atas serangan terhadap anggota keselamatan dikenal pasti dan diberikan hukuman yang setimpal.
Menteri Penerangan, Atta Tarar mendakwa, PTI membawa beberapa pelarian Afghanistan untuk menyertai perarakan protes, yang turut melepaskan gas pemedih mata ke arah polis. Beliau memberi amaran, kekerasan akan digunakan jika PTI memasuki "Zon Merah."
Sementara itu, beberapa penerbangan antarabangsa dan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad ditunda dan dibatalkan kerana semua laluan ke arah lapangan terbang ditutup.
Imran, pengasas PTI menyeru mengadakan perhimpunan protes di seluruh negara dan meminta rakyat turun ke ibu kota untuk merebut semula "mandat yang dirampas" susulan dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum 8 Feb lalu.
Beliau juga menuntut pembebasan tahanan politik serta membatalkan perubahan kontroversi dalam badan kehakiman negara Asia Selatan itu.
Kerajaan menutup institusi pendidikan di Islamabad, manakala semua lebuh raya dan jalan yang menghubungkan ibu negara ditutup dengan pihak berkuasa meletakkan ribuan kontena komersial di atas jalan raya.
Di banyak tempat, jalan-jalan digali dan trak serta batu berat diletakkan di atas lebuh raya untuk menyekat perhimpunan.
Tetapi penunjuk perasaan berjaya melepasi halangan dan meneruskan perarakan mereka.
Imran, 72, meminta penyokongnya untuk berusaha sampai ke Islamabad, berkhemah di sana, dan tidak pulang ke rumah tanpa kerajaan menyerah kepada tuntutan PTI.
PTI mengadakan puluhan demonstrasi dan perhimpunan di seluruh negara sejak Imran digulingkan dari jawatan Perdana Menteri pada April 2022.
Perhimpunan ini sering disertai dengan tuntutan agar beliau dibebaskan serta mendesak pembaharuan dalam sistem politik dan kehakiman negara.
-- BERNAMA
#Pakistan #Imran Khan #pertempuran #D-Chowk
;