Penyiasat Germanwings gesa penilaian semula kesihatan mental juruterbang
Agensi
Mac 13, 2016 23:17 MYT
Mac 13, 2016 23:17 MYT
Pasukan Perancis yang menyiasat nahas pesawat Germanwings, Ahad lalu menuntut undang-undang yang menghapuskan kerahsiaan maklumat perubatan sekiranya juruterbang mempunyai tanda-tanda masalah psikologi.
Pesawat tersebut diterbangkan dengan sengaja ke kawasan pergunungan Perancis oleh pembantu juruterbang Andreas Lubitz pada Mac tahun lalu dalam tragedi yang mengorbankan 150 nyawa sekaligus menimbulkan persoalan baharu mengenai keselamatan penerbangan.
Pakar penerbangan sivil BEA dalam kesimpulan akhir mereka mengenai tragedi itu turut mencadangkan pemeriksaan kesihatan yang lebih ketat ke atas juruterbang.
Lubitz, 27, yang menghidap masalah psikologi dibenarkan menerbangkan pesawat walaupun telah beberapa kali bertemu dengan doktor beberapa tahun sebelum nahas tersebut.
“Peraturan yang lebih jelas diperlukan untuk menentukan masa yang wajar untuk menghapuskan kerahsiaan maklumat perubatan,” ujar penyiasat Arnaud Desjardins ketika pelancaran laporan BEA.
Tambahnya, beberapa orang doktor swasta sebenarnya sudah mengetahui bahawa Lubitz tidak sihat namun maklumat ini tidak diberikan kepada pihak berkuasa aeronautik atau kepada majikannya, Germanwings.
Hal ini kerana undang-undang Jerman tidak membenarkan doktor memberitahu majikan tentang keadaan mental pesakit.
Saman sekolah latihan
Dalam kotak hitam yang ditemui di tapak nahas, bunyi yang kedengaran dalam rakaman hanyalah bunyi nafas Lubitz.
Tidak ada ucapan atau penjelasan darinya tentang tindakan yang telah membawa kepada tragedi nahas pesawat itu.
Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) telah mencadangkan peningkatan dalam ujian perubatan ke atas juruterbang, termasuklah ujian psikologi.
Ketua BEA Remi Jouty memberitahu penyiasat Perancis telah cuba mengenal pasti “kesilapan sistematik yang menyebabkan nahas tersebut”.
Para penyiasat turut meneliti “keseimbangan antara kerahsiaan maklumat perubatan dengan keselamatan penerbangan”.
Selepas tragedi Germanwings, pihak berkuasa penerbangan Eropah telah mencadangkan agar wajib ada dua orang di dalam kokpit pada setiap masa ketika penerbangan.
Seorang peguam Jerman yang mewakili beberapa keluarga mangsa menyatakan mereka ingin menyaman sekolah latihan yang dihadiri oleh Lubitz di Phoenix, Arizona yang seharusnya mengenal pasti masalah psikologinya.
“Dia pernah menghentikan seketika latihan kerana masalah psikologi. Dia sepatutnya tidak dibenarkan menyambung latihan,” tambah peguam Christof Wellens.