Penyerang Taliban bunuh sekurang-kurangnya 140 tentera di Afghanistan

Agensi
April 22, 2017 22:40 MYT
Pegawai rasmi di bandar raya Mazar-i-Sharif iaitu lokasi serangan dilancarkan, berkata hari ini sekurang-kurangnya 140 anggota tentera maut manakala ramai lagi cedera. - Foto REUTERS/Anil Usyan
Sekurang-kurangnya 140 tentera Afghanistan menjadi korban serangan militan Taliban pada Sabtu, dan insiden itu merupakan yang paling buruk pernah terjadi ke atas pangkalan tentera Afghanistan, lapor Reuters.
Pegawai rasmi di bandar raya Mazar-i-Sharif iaitu lokasi serangan dilancarkan, berkata, sekurang-kurangnya 140 anggota tentera maut manakala ramai lagi cedera.
Ada pegawai lain berkata, angka kematian berkemungkinan lebih tinggi.
Setakat ini kerajaan masih belum mengeluarkan angka yang terkorban secara rasmi.
Dalam insiden tersebut, seramai 10 militan Taliban memakai seragam tentera Afghanistan dan memandu kenderaan tentera, menuju ke pangkalan telah melepaskan tembakan ke arah anggota tentera yang sedang makan malam dan meninggalkan masjid selepas solat.
Mereka menggunakan bom tangan dan raifal, kata pegawai.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata dalam kenyataan pada Sabtu bahawa serangan itu sebagai membalas dendam atas pembunuhan beberapa pemimpin kanan pergerakan berkenaan di utara negara itu.
#Afghanistan #militan #Taliban #tentera
;