Penyerang siber cuba akses data rahsia Kementerian Pertahanan Singapura

Agensi
Februari 28, 2017 07:42 MYT
Serangan siber di Singapura itu dipercayai sudah lama disasarkan dan dirancang dengan teliti. - Gambar fail
Kumpulan penyerang siber telah mencuri data peribadi asas daripada 850 anggota keselamatan Singapura dan pekerja kerajaan dalam satu percubaan mengakses rahsia pemerintah, ujar Kementerian Pertahanan republik itu pada Selasa.
Kementerian itu mengesan serangan tersebut bulan ini dalam sistem I-Net, yang membolehkan pelayaran internet menggunakan terminal-terminal komputer di premis-premis Angkatan Bersenjata Singapura, ujar kenyataan itu.
Bagaimanapun, tiada maklumat rahsia ketenteraan disimpan dalam I-Net.
“Serangan terhadap I-Net dilihat seperti sudah lama disasarkan dan dirancang dengan teliti.
“Tujuan sebenar adalah untuk mendapatkan akses kepada rahsia negara, namun percubaan itu dihalang oleh pemisahan fizikal I-Net daripada sistem dalaman kami,” tambah kenyataan tersebut.
Data yang berjaya dicuri hanyalah nombor telefon, tarikh lahir dan nombor kad pengenalan.
Kementerian berkenaan telah merujuk insiden itu kepada Agensi Keselamatan Siber dan Agensi Teknologi Pemerintah untuk menyiasat status sistem kerajaan yang lain, namun tiada serangan dikesan.
Tahun lalu, Singapura memulakan langkah memisahkan komputer kerja petugasnya daripada internet sebagai kaedah melindungi serangan siber.
#akses sistem kerajaan #godam #maklumat rahsia #pemerintah Singapura #serangan siber