Penyerang lepas tembakan di gereja Kaherah, sekurang-kurangnya 10 maut
Agensi
Disember 29, 2017 04:40 MYT
Disember 29, 2017 04:40 MYT
Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan maut apabila penyerang bersenjata melepaskan tembakan yang menyasarkan orang ramai di pekarangan gereja ortodoks Koptik di sini pada Jumaat, lapor Reuters.
Laporan awal daripada pasukan keselamatan dan saksi di tempat kejadian mengatakan terdapat dua penyerang terlibat, iaitu seorang yang ditembak manakala seorang berjaya melarikan diri.
Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa hanya terdapat seorang penyerang yang cedera dan telah ditahan pihak berkuasa. Kementerian itu tidak menjelaskan lanjut mengenai dua laporan yang berbeza.
Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Kumpulan militan dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengaku melaksanakan beberapa serangan ke atas minoriti Kristian di Mesir, termasuk dua kes pengeboman sempena sambutan Palm Sunday pada April lalu dan di katedral Koptik terbesar Kaherah pada Disember 2016.
Jurucakap gereja memberitahu, tembakan pertama dilepaskan di sebuah kedai milik penganut Kristian sejauh 4 kilometer dari gereja, dan mengorbankan dua orang. Penyerang itu kemudiannya bergerak ke gereja Mar Mina di bandar Helwan, dan menembak secara rambang dan cuba melontar bom.