Penyerang kelab malam Istanbul ditangkap

Agensi
Januari 17, 2017 09:08 MYT
Penyerang kelab malam Reina selepas ditangkap polis Turki di Istanbul, lewat Isnin, 16 Januari, 2017. - Gambar Depo melalui AP
Lelaki bersenjata yang disyaki membunuh 39 orang di sebuah kelab malam di Istanbul pada 1 Januari lalu telah ditangkap polis di daerah Esenyurt di sini, menurut laman web akhbar Hurriyet dan media lain pada Selasa.
Lelaki itu, yang menurut polis beroperasi menggunakan nama Abu Muhammed Horasani, telah ditangkap di satu tempat persembunyian bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun, lapor Hurriyet.
Laporan tersebut bagaimanapun tidak dapat disahkan buat waktu ini.
Berpuluh-puluh orang telah ditahan sebelum ini berhubung serangan itu, yang mana pihak militan Daish mengaku bertanggungjawab, mengatakan ia bertujuan membalas dendam terhadap penglibatan tentera Turki di Syria.
Pada hari pertama Tahun Baru yang lalu, penyerang itu melepaskan tembakan sambil berjalan masuk ke kelab malam Reina itu, menggunakan senapang automatik, sambil mengisi semula peluru beberapa kali dan menembak mereka yang cedera dan terbaring di atas lantai.
Warga Turki dan juga pelancong dari beberapa negara Arab, India dan Kanada merupakan antara yang terbunuh dalam serangan itu.
Laman web Haberturk itu mengatakan Horasani yang berasal dari Uzbekistan ditangkap di sebuah kompleks perumahan di daerah Esenyurt.
Ketika ditangkap, terdapat tiga orang dalam apartmen itu, yang merupakan rumah rakannya, seorang warga Kyrgyztan, menurut Haberturk.
#Abu Muhammed Horasani #Istanbul #kelab malam #penyerang #tahun baru
;