Penyerang Christchurch mengaku salah

Sinar Harian
Mac 26, 2020 19:26 MYT
Hakim Cameron Mander yang merekodkan sabitan terhadap semua pertuduhan berkata, tertuduh akan dihukum pada tarikh yang belum ditentukan. - Foto Agensi
Seorang rakyat Australia yang dituduh menembak mati seramai 51 jemaah Islam di dua buah masjid di New Zealand pada Mac tahun lalu mengubah pengakuannya hari ini kepada mengaku bersalah atas semua pertuduhan.
Brenton Tarrant, 29, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan terlibat dalam tindakan keganasan.
Tertuduh mengubah pengakuannya dalam satu perbicaraan yang diadakan secara tergesa-gesa.
"Ya, bersalah," kata Tarrant kepada Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi video link dari Penjara Auckland sambil matanya tepat memandang ke arah kamera.
Tiada alasan diberikan untuk pertukaran pengakuan itu dan ia bermakna Tarrant tidak perlu lagi menghadiri perbicaraan bagi kes tersebut.
Hakim Cameron Mander yang merekodkan sabitan terhadap semua pertuduhan berkata, tertuduh akan dihukum pada tarikh yang belum ditentukan.
"Pengakuan bersalah mewakili satu langkah yang sangat signifikan yang membawa kepada kesudahan prosiding jenayah ini," katanya.
Katanya lagi, hukuman tidak akan dibuat sehingga sistem keadilan kembali normal.
"Pada ketika itu mangsa dan keluarga mereka boleh hadir sendiri ke mahkamah," tambahnya.
Tertuduh menukar pengakuannya pada hari pertama New Zealand menjalani perintah lockdown selama empat minggu susulan pandemik COVID-19).
#Australia #Brenton Tarrant #jenayah #Mahkamah Tinggi Christchurch #New Zealand #Penjara Auckland #video
;