Penyerang berpisau cederakan enam mangsa di stesen Gare du Nord Paris

Agensi
Januari 11, 2023 17:54 MYT
Polis mengamankan kawasan itu berikutan serangan itu, yang berlaku sekitar 0645 CET. - REUTERS
PARIS: Seorang lelaki mencetuskan panik orang awam apabila melakukan serangan menggunakan pisau di stesen kereta api Gare du Nord di Paris pada pagi Rabu, mengakibatkan enam orang cedera dengan seorang daripadanya mengalami cedera parah, kata jurucakap polis.
Penyerang yang melakukan serangan di kawasan pintu utama stesen itu telah ditembak sebanyak tiga kali oleh seorang anggota polis yang kebetulan berada di situ untuk menggunakan perkhidmatan kereta api.
Penyerang dibawa ke hospital dengan kecederaan yang parah, tambah jurucakap itu.
“Motif lelaki itu tidak jelas," kata polis, yang turut menambah, senjata yang digunakan penyerang itu dipercayai buatan sendiri.
Sementara itu, pendakwa raya Paris dalam satu kenyataan berkata bahawa siasatan jenayah telah dibuka dan belum lagi mengaitkan insiden itu dengan serangan pengganas.
Satu sumber menyatakan bahawa pegawai polis yang bertindak menembak penyerang itu sedang berada di luar waktu tugas.
Stesen Gare du Nord merupakan salah sebuah stesen yang paling sibuk di Eropah dan menjadi penghubung utama antara Paris, London dan kota lain di utara Eropah.
Radio FranceInfo, dengan memetik kata seorang pengendali kereta api syarikat SNCF, berkata, perkhidmatan kereta api di stesen itu akan diteruskan seperti biasa.
#Paris #Gare du Nord #pisau #menyerang
;