Penyelidik Afrika Selatan cipta batu bata daripada air kencing manusia

Agensi
November 3, 2018 19:22 MYT
Dr Dyllon Randall, Suzanne Lambert dan Vukheta Mukhari menunjukkan batu bata bio yang dihasilkan daripada air kencing. - Reuters
Sepasukan penyelidik di Afrika Selatan mendakwa mereka berjaya mencipta batu bata dengan menggunakan air kencing manusia, menerusi proses yang melibatkan koloni bakteria.
Reuters melaporkan, penyelidik itu percaya penemuan itu suatu hari nanti mampu mengurangkan kesan pemanasan global kerana menggunakan semula bahan kumuh.
Batu bata kelabu itu dihasilkan dalam makmal selama lapan hari menggunakan air kencing, kalsium, pasir dan bakteria. Baja juga terhasil semasa proses pembuatan, dan yang penting, batu bata itu tidak berbau.
Batu bata itu dibuat menggunakan bahan urea – sejenia bahan kimia yang ditemui secara semula jadi dalam urin dan juga disintesis di seluruh dunia untuk membuat baja.
Proses mencipta batu bata daripada urea telah diuji di Amerika Syarikat dengan penyelesaian sintetik, namun penemuan terbaru ini menggunakan air kencing (urin) manusia buat kali pertama.
“Kita lazimnya membuang air seperti ini setiap hari dan menjirusnya ke dalam rangkaian sistem pembetung. Apa salahnya menggunakannya untuk hasilkan pelbagai produk?,” ujar pensyarah kanan bahagian kejuruteraan awam di Universiti Cape Town, Dyllon Randall.
Batu bata biologi dihasilkan menerusi proses pemendakan karbonat teraruh mikrob, yang mirip dengan proses penghasilan terumbu karang.
Pasir peroi dipenuhi bakteria yang menghasilkan enzim urease. Enzim itu menguraikan urea dalam air kencing, dan pada masa yang sama menghasilkan bahan seperti batu iaitu kalsium karbonat melalui reaksi kimia yang rumit.
#Afrika Selatan #air kencing #batu bata #penyelidik #Sains #urin
;