Penyelesaian krisis Myanmar mesti bermula dari Myanmar sendiri - Penganalisis

Bernama
April 23, 2023 14:12 MYT
Sekatan yang dikenakan ke atas Myanmar ketika ini hanya memberi kesan yang bersifat sementara.- Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kecaman antarabangsa dan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, seolah-olah langsung tidak menghalang tentera Myanmar meneruskan kempen serangan udara yang menyasarkan kumpulan yang didakwa sebagai pemberontak.
Dalam serangan baru-baru ini, kira-kira 170 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan udara yang dilancarkan tentera junta ke atas penduduk awam di kampung Pazigyi di Perbandaran Kanbalu di wilayah Sagaing.
Ketika tekanan antarabangsa terhadap junta tentera masih belum menunjukkan hasil yang diinginkan setakat ini, geostrategis Prof Azmi Hassan berkata penyelesaian kepada krisis itu mesti bermula dari Myanmar sendiri iaitu melalui gerakan kerajaan bayangan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG).
Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu memberitahu Bernama bahawa sekatan yang dikenakan ke atas Myanmar hanya memberi kesan yang bersifat sementara.
"Junta mempunyai saluran yang banyak untuk mendapatkan sumber kewangan, contohnya menjual batu permata kepada negara-negara lain yang tidak mempunyai masalah untuk menjual minyak mereka dan bahan-bahan sumber asli yang lain," katanya.
Pengarah di Pusat Serantau ASEAN Universiti Malaya (CARUM), Dr Rahul Mishra yang turut berkongsi pandangan yang sama berkata: "sekatan tidak akan membuahkan hasil yang positif dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata ASEAN sesungguhnya perlu beralih daripada tidak campur tangan kepada campur tangan secara konstruktif atas dasar kemanusiaan untuk membantu memulihkan demokrasi di Myanmar, sambil menambah bahawa tanggungjawab yang sama turut perlu sama dipikul oleh masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta rakan dialog ASEAN.
"Kecaman ASEAN terhadap serangan itu menampakkan keikhlasan namun itu tidak memadai.
"Dengan ketiadaan mekanisme penguatkuasaan undang-undang, sukar buat ASEAN untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC). Selagi ASEAN dan negara anggota tidak mengambil pendekatan berasaskan konsensus yang lebih terkoordinasi untuk melaksanakan 5PC, selagi itulah Myanmar tidak akan dapat pulih seperti sediakala," katanya.
5PC yang disepakati pemimpin ASEAN di Jakarta pada April 2021 ialah; untuk menamatkan keganasan, mengadakan perbincangan yang membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan, ASEAN menyediakan bantuan kepada Myanmar, utusan khas ASEAN yang dilantik untuk mengadakan perbincangan dan utusan dibenarkan melawat negara itu.
Sementara itu, Azmi berkata pengaruh ASEAN ke atas Myanmar amat terhad sekali tidak mampu untuk memaksa junta tentera melaksanakan sekurang-kurangnya satu atau dua perkara daripada 5PC berkenaan.
Beliau berkata menyingkirkan Myanmar daripada ASEAN tidak menyelesaikan masalah kerana jika Myanmar di luar ASEAN adalah lebih sukar untuk ASEAN mengawal negara ini.
Mengenai sama ada PBB perlu campur tangan dengan menghantar pasukan pengaman ke Myanmar, kedua-dua penganalisis bersetuju bahawa langkah itu boleh membantu Myanmar kembali ke landasan demokrasi. Namun, sudah pasti banyak kekangan untuk merealisasikannya.
"Ia memerlukan persetujuan daripada junta. ASEAN nak hantar pemerhati pun junta tak benarkan, apa lagi menghantar pasukan pengaman. Ia memang cara terbaik tetapi ia memerlukan persetujuan daripada Myanmar. Dalam kes ini junta memang takkan setuju," kata Azmi.
"Itu mungkin satu kemungkinan (PBB menghantar pasukan pengaman). Bagaimanapun, persoalan lebih penting ialah China dan Rusia mungkin tidak menyokong langkah itu dan akan menyekat keseluruhan proses," kata Rahul.
Myanmar dicengkam krisis sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada rampasan kuasa Februari 2021, menyaksikan kira-kira 3,200 orang awam terbunuh.
-- BERNAMA
#krisis Myanmar #junta tentera #pembunuhan beramai-ramai #Azmi Hassan
;