Penyelesaian dua negara mesti dikekalkan - Arab Saudi
Astro Awani
Mei 27, 2024 09:30 MYT
Mei 27, 2024 09:30 MYT
PENYELESAIAN dua negara bagi konflik Israel-Palestin "mesti dikekalkan."
Demikian yang disuarakan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah pada satu sidang media di Brussels pada Ahad, sambil menegaskan, penyelesaian ini harus menjadi keutamaan semua pihak, termasuk Israel.
Beliau juga menggesa gencatan senjata segera di Gaza dan pembebasan tebusan untuk dilakukan secepat mungkin.
“Kita melihat langkah-langkah tambahan yang diambil oleh Israel memberi kesan bukan sahaja kepada orang awam di Gaza, tetapi juga meletakkan penduduk awam di Tebing Barat dalam situasi yang sangat sukar.
“Sehubungan itu, kita memberi tumpuan dalam mesyuarat ini, dan susulan kepada mesyuarat di Riyadh, seperti yang telah diterangkan juga mengenai isu mengekalkan penyelesaian dua negara, kerana ada kata sepakat antara masyarakat antarabangsa.
"Bahawa, satu-satunya cara untuk memastikan keselamatan, bukan sahaja rakyat Palestin dan hak rakyat Palestin, tetapi juga keselamatan Israel, adalah melalui penyelesaian dua negara.
“Dan kita mesti melakukan apa sahaja yang kita boleh untuk memastikan penyelesaian itu hidup,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Diplomat tertinggi Kesatuan Eropah Joseph Borrell juga menegaskan bahawa penyelesaian dua negara bukanlah konsesi yang menyakitkan atau ancaman keselamatan bagi Israel, sebaliknya ia satu-satunya jaminan jangka panjang untuk keselamatan dan kemakmuran.
“Penyelesaian dua negara bukanlah konsesi yang menyakitkan yang Israel boleh lakukan, ia juga bukan ancaman keselamatan bagi Israel, tetapi sebaliknya, ia adalah satu-satunya jaminan jangka panjang untuk keselamatan dan kemakmuran Israel.
“Saya tahu bahawa kerajaan Israel sekarang tidak yakin tentang itu, dan kita perlu berusaha untuk melakukan idea ini dan mendesak satu-satunya penyelesaian yang boleh kita bayangkan untuk membawa keamanan dan keselamatan kepada dua negara yang berjuang untuk tanah yang sama,”katanya.
Arab Saudi dan Norway menjadi tuan rumah mesyuarat peringkat menteri mengenai pendekatan terkoordinasi bagi pengiktirafan negara Palestin di Brussels pada Ahad.
Pertemuan pada Ahad di ibu kota Belgium itu dihadiri oleh pemberi dana antarabangsa yang menyokong rakyat Palestin, diadakan ketika tiga negara Eropah - Sepanyol, Ireland dan Norway - menyatakan pendirian rasmi akan mengiktiraf sebuah negara Palestin untuk membantu menghentikan serangan Israel di Gaza.