Penyelam veteran 'Underwater World' Singapura maut ditusuk sengat pari

Agensi
Oktober 5, 2016 18:30 MYT
UWS telah dihentikan operasi pada 26 Jun lalu, namun masih menyimpan banyak haiwan marin yang masih belum dipindahkan. - Foto AFP
Seorang penyelam senior di pusat tarikan akuarium marin Underwater World Singapore (UWS) maut pada Selasa selepas ditusuk sengat pari pada bahagian dadanya, lapor portal berita Channel News Asia.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Haw Par Corporation mengesahkan bahawa Philip Chan, 62, ‘mengalami kecederaan di bahagian dada disebabkan ikan pari’ ketika membuat persiapan memindahkan hidupan marin ke sebuah akuarium baharu. Beliau merupakan penyelia kanan bahagian kurator UWS.
"Beliau meninggal dunia akibat kecederaannya beberapa jam selepas dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH),” ujar kenyataan itu.
Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah menghantar ambulans pada Selasa ke UWS sekitar jam 2.20 petang. Sejurus tiba, anggota paramedik menemui Chan terbaring berdekatan pintu masuk pusat tersebut.
Situasi mangsa diperiksa sebelum bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan kepadanya.
Dia kemudian digegas ke SGH dan pihak paramedik terus melakukan CPR sepanjang perjalanan, ujar SCDF.
Walaupun operasi UWS telah dihentikan sejak 26 Jun lalu, Chan adalah antara 10 petugas yang masih menjaga haiwan marin di situ sementara menunggu pusat penempatan baharu, ujar Haw Par Corporation.
"Dia seorang penyelam veteran, pakar akuarium dan penjaga haiwan yang selama ini menjaga haiwan akuatik di UWS sejak pembukaannya pada 1991,” tambah kenyataan itu.
Haw Par menjanjikan segala sokongan yang diperlukan keluarga dan waris terdekat Chan.
#ikan pari #penyelam veteran #sengat pari #Underwater World Singapore #UWS
;