Penyelam jalani terapi oksigen hiperbarik

Sinar Harian
November 4, 2018 05:45 MYT
Terapi selama 2 jam setengah itu akan dijalankan sebanyak tiga sesi. Foto DetikNews/Sinar Harian
Seramai 15 penyelam polis yang terlibat dalam operasi carian pesawat Lion Air JT610 dan mayat mangsa penumpang menjalani terapi oksigen hiperbarik bertujuan untuk meneutralkan nitrogen yang memasuki tubuh mereka.
"Sudah lebih enam hari mereka menyelam. Jadi, kami melakukan terapi tiga sesi selama 2 jam setengah ini untuk memastikan tubuh para penyelam kembali normal.
"Kenapa terapi ini dilakukan kerana jika nitrogen terlebih dalam tubuh, ia akan mengganggu kesihatan dan memberi tekanan kepada saraf.
"Kami juga merancang untuk menugaskan anggota penyelam secara bergilir-gilir," kata jurucakap polis, Musyafak, pada Ahad.
Difahamkan, terapi hiperbarik itu dijalankan selepas anggota penyelam mengadu tentang gangguan kesihatan yang dialami mereka.
"Mereka akan mengalami keracunan oksigen dan nitrogen jika berada terlalu lama pada kedalaman 32 meter (m). Waktu paling lama biasanya 15 minit.
"Selepas tempoh itu mereka perlu segera naik 5 m untuk 'safety stop'," jelas seorang lagi jurucakap polis, Makhruzi Rahman.
Difahamkan, anggota penyelam lain dari Tentera Nasional Indonesia (TNI) atau agensi lain mungkin akan melakukan terapi kesihatan sama.
Langkah segera memberi terapi itu dijalankan susulan insiden seorang penyelam, Syachrul Anto, 48, yang menyertai operasi itu meninggal dunia kerana mengalami decompression sickness disebabkan peningkatan gelembung nitrogen dalam tubuh ketika menyelam. - DetikNews
#gangguan kesihatan #hiperbarik #Indonesia #keracunan oksigen #Lion Air JT610 #mayat #meninggal dunia #nitrogen #operasi #Penyelam #pesawat #polis #tentera #terapi
;