Penyanyi Mesir punca juruterbang digantung kerja seumur hidup

Agensi
Oktober 19, 2019 11:30 MYT
Seorang juruterbang dari Mesir dilarang melakukan penerbangan seumur hidup selepas benarkan penyanyi tempatan, Mohamed Ramadan memasuki kokpit.
Seorang juruterbang dari Mesir dilarang melakukan penerbangan seumur hidup selepas didapati cuai membenarkan pelakon dan penyanyi tempatan, Mohamed Ramadan memasuki bahagian kokpit.
Mohamed bukan sahaja dibenarkan memasuki bahagian kokpit, malah turut dilihat memegang controller pesawat semasa dalam penerbangan menuju ke Riyadh dari Mesir, lapor BBC.
Situasi menjadi lebih tegang apabila Mohamed merakam video pendek dirinya duduk di kerusi juruterbang dan memuat naik klip berkenaan dalam media sosial.
“Sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku, saya menerbangkan pesawat ini,” tulisnya di platform Twitter @Mohamed_Ramadan pada 13 Oktober lalu.
Kejadian yang sama turut menyebabkan pembantu juruterbang dilarang bertugas selama setahun sementara pengarah besar syarikat penerbangan swasta itu mengambil keputusan untuk berhenti.
Dalam pada itu, menurut laporan sebuah akhbar tempatan, pemilik pesawat itu bukan merupakan syarikat penerbangan utama Mesir.
Kejadian dikatakan berlaku dalam penerbangan Mohamed ke Riyadh untuk memenuhi jemputan sebuah festival hiburan atau undangan kerajaan Arab Saudi.
Ramadan memasuki kokpit dan duduk di kerusi juruterbang ketika pesawat dalam keadaan autopilot.
Sebagai rekod, nama penyanyi berusia 31 tahun itu sering dikaitkan dengan kontroversi apabila dilarang membuat persembahan selepas memakai pakaian yang menampakkan tubuhnya dalam sebuah konsert pada Ogos lalu.
#Arab Saudi #hiburan #Juruterbang #media sosial #penerbangan #pesawat #Ramadan #video
;