Penyanyi dangdut Indonesia jual rumah RM1 juta untuk bantu mangsa COVID-19

Astro Awani
Julai 7, 2021 05:38 MYT
Annisa Bahar buat keputusan lelong kediamannya di Bekasi, Jawa Barat pada harga Rupiah 4 bilion (RM1.14 juta) untuk membantu mangsa COVID-19 di Indonesia. - Gambar Instagram
JAKARTA: Memahami kepayahan dan kesulitan hidup orang ramai yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Annisa Bahar membuat keputusan melelong kediamannya pada harga Rupiah 4 bilion (RM1.14 juta).
Hasil jualan rumahnya yang terletak di Bekasi, Jawa Barat itu, kata Annisa, akan disalurkan kepada mangsa-mangsa COVID-19.
“Niat saya ialah untuk membantu keluarga mangsa COVID-19. Bantuan itu akan diserahkan oleh saya sendiri kepada keluarga mangsa secara peribadi tanpa melalui kerajaan atau sesiapa,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Hasrat Annisa untuk menjual rumahnya itu diumumkan melalui akaun Instagram peribadinya dan disambut dengan ucapan terima kasih dan kesyukuran daripada pengikut-pengikutnya.
Sebelum ini, Annisa juga pernah menjual kenderaan peribadinya dan hasil jualan itu digunakan bagi membantu mangsa banjir.
Indonesia merupakan antara di Asia Tenggara yang kini kembali berhadapan dengan penularan serius COVID-19.
Kes jangkitan COVID-19 di negara republik itu dikhuatiri boleh mencecah 40,000 kes sehari, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan.
Kerajaan negara itu juga sudah bersiap sedia sekiranya kes meningkat sebanyak itu pada bila-bila masa.
#penyanyi dangdut #Indonesia #Annisa Bahar #jual rumah #bantu mangsa COVID-19 #COVID-19