Penyampai berita BBC terheret skandal gambar lucah, isteri sahkan Huw Edwards ada masalah mental
Agensi
Julai 12, 2023 07:15 MYT
Julai 12, 2023 07:15 MYT
LONDON: Seorang personaliti televisyen terkemuka Britain, Huw Edwards, telah dikenal pasti oleh isterinya sebagai penyampai berita BBC yang menghadapi dakwaan membayar seorang anak muda beribu-ribu pound untuk gambar seksual yang eksplisit.
Edwards terlibat dengan liputan berskala besar seperti mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth II selain termasuk pilihan raya, perkahwinan diraja dan Sukan Olimpik 2012.
Isterinya, Vicky Flind berkata, dia membuat kenyataan kerana bimbang terhadap kesihatan mental Edwards dan untuk melindungi anak-anak mereka.
Kata Flind dalam satu kenyataan, Edwards mengalami masalah kesihatan mental yang serius malah telah dirawat kerana kemurungan teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Peristiwa beberapa hari kebelakangan ini telah memburukkan lagi keadaan dan kini dia menerima rawatan hospital serta akan akan tinggal di sana untuk masa hadapan," katanya.
Flind, dalam masa sama berharap kenyataan itu akan menamatkan spekulasi media yang telah memberi kesan kepada rakan-rakan Edwards.
Jelasnya lagi, apabila keadaan bertambah baik, Edwards berhasrat untuk menjawab cerita yang diterbitkan itu.
Kisah itu mula bocor pada Jumaat, apabila akhbar tabloid Sun melaporkan seorang penyampai BBC terkemuka telah membayar seorang individu muda 35,000 pound (RM211,000) untuk gambar eksplisit selama tiga tahun, bermula ketika individu itu berusia 17 tahun.
BBC dalam tindak balasnya menggantung penyampai berkenaan tetapi tidak menamakannya.
BBC mendapat kecaman kerana ia bergelut untuk menyiasat dakwaan terhadap penyampai, melindungi privasi orang itu, bertindak balas secara terbuka terhadap dakwaan itu dan menimbulkan kemarahan penyampai lain yang disyaki.
Umur persetujuan untuk seks di England ialah 16 tahun, tetapi imej seseorang di bawah 18 tahun boleh dianggap sebagai pornografi kanak-kanak.
Polis Metropolitan London memaklumkan telah membuat penilaian terhadap dakwaan itu dan mendapati tiada tanda-tanda kesalahan jenayah telah dilakukan.
Bagaimanapun, BBC berkata, ia akan meneruskan siasatan dalaman terhadap dakwaan itu.
Edwards, yang mempunyai lima anak, telah bekerja untuk BBC sejak 1984 dan telah mengemudi buletin utama "BBC News at Ten" selama lebih dua dekad.
Dia merupakan penyampai berita dengan bayaran tertinggi penyiar, memperoleh pendapatan dalam kumpulan hingga 439,999 (RM2.65 juta). - Agensi