Penyakit misteri serang pekan kecil di India

Agensi
Disember 7, 2020 20:44 MYT
Bandar Eluru di India diserang sejenis penyakit misteri, dengan satu kematian dan lebih 300 penduduk lagi dimasukkan ke hospital.
ELURU: Bandar Eluru di India diserang sejenis penyakit misteri, yang menyebabkan satu kematian dan lebih 300 penduduk lagi dimasukkan ke hospital.
Sehingga kini pihak berkuasa kesihatan di bandar itu tidak dapat mengenal pasti punca penyakit berkenaan, yang bermula dengan simptom seperti sawan, menggigil dan pengsan.
Ia bermula Sabtu lepas dengan 45 penduduk dari 4 lokasi berbeza di bandar itu mengadu mengalami simptom-simptom tersebut, lapor Times of India.
Sepasukan doktor pakar dari Pusat Sains Perubatan Delhi tiba pada Ahad untuk bekerjasama dengan doktor tempatan bagi mengenal pasti punca penyakit.
Setakat ini, mereka menolak kemungkinan ia berpunca daripada pencemaran air atau makanan.
"Terdapat kesan terhadap sistem saraf pesakit. Tetapi agen penyebabnya belum diketahui.
"Kami sedang mengkaji jika ini ada kaitan dengan pencemaran kimia," laporan itu memetik kenyataan seorang doktor.
Kesemua pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil.
#Eluru #India #kesihatan #perubatan #penyakit
;