Penyair terkemuka Chile meninggal dunia pada usia 103 tahun

Agensi
Januari 25, 2018 08:25 MYT
Nicanor Parra dilihat pada sambutan ulangtahun kelahirannya yang ke 100 pada September 2014 di rumahnya di bandar Las Cruces, Chile. REUTERS / Fail
Penulis dan penggiat seni terkemuka Chile, Nicanor Parra, meninggal dunia pada Selasa, pada usia 103 tahun.
Dianggap sebagai salah seorang penyair Amerika Latin paling penting pada abad ke-20, Parra tetap aktif, fasih dan provokatif sehingga ke akhir hayatnya.
Pemergian mendiang mendapat penghormatan daripada pelbagai pihak termasuk Presiden Michelle Bachelet yang menulis di media sosial:
"Chile kehilangan salah seorang daripada penulis hebat dalam sejarah kesusasteraan kita dan satu suara tunggal dalam budaya Barat."
Satu upacara khas diadakan di Santiago pada Rabu sebagai mengenang mendiang Parra yang dilahirkan pada 15 September, 1914, di bandar kecil San Fabian di selatan Chile.
Antara karya beliau yang seringkali dijadikan rujukan ialah, "Poemas para Combatir la Calvicie" (Poems to Fight Baldness, 1993) dan "La Montana Rusa" (The Roller Coaster, 1962).
Istimewanya, Parra yang juga merupakan seorang ahli fizik dan pakar matematik, menghabiskan sisa hidupnya di sebuah lokasi terpencil berhampiran pantai di kawasan tengah Chile.
#Chile #La Montana Rusa #Michelle Bachelet #Nicanor Parra #Poemas para Combatir la Calvicie #Presiden Chile
;