Penutupan sempadan Mexico-AS tidak rasional - Andres

Astro Awani
Januari 30, 2024 09:45 MYT
Andres berkata idea itu adalah tidak munasabah kerana Mexico sendiri merupakan rakan dagang utama AS dan ia bakal memberi kesan langsung kepada ekonomi. - Foto fail/REUTERS
MEXICO CITY: Cadangan penutupan sempadan Mexico dan Amerika Syarikat (AS) adalah mustahil dan merupakan keputusan politik yang tidak rasional.
Demikian reaksi Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador kepada cadangan Presiden AS Joe biden yang mahu menutup sempadan, susulan negara itu berdepan rekod pendatang asing tinggi.
Andres berkata idea itu adalah tidak munasabah kerana Mexico sendiri merupakan rakan dagang utama AS dan ia bakal memberi kesan langsung kepada ekonomi.
"Pada kami penutupan sempadan ini tidak munasabah. Saya sangat menghormati Presiden Biden, beliau telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik, begitu juga Presiden Trump sebelum ini, dia sangat menghormati kami, kami memahami keadaan tetapi bayangkan menutup sempadan.
"Ini bukan satu penyelesaian, bayangkan tahap integrasi ekonomi dan komersial yang kita ada, kita adalah rakan kongsi utama Amerika Syarikat di dunia. Bagaimana kita boleh menutup sempadan?" soalnya.
Biden, mewakili Demokrat berusaha untuk mempertahankan jawatannya untuk satu penggal lagi dalam pilihan raya pada 5 November akan datang.
Beliau telah berdepan rekod bilangan pendatang yang ditahan semasa menyeberangi sempadan secara haram semasa menjadi Presiden.
Manakala pihak Republikan berhujah bahawa beliau sepatutnya mengekalkan dasar sekatan bekas Presiden Donald Trump.
#penutupan sempadan #AS #Mexico #Andres Manuel Lopez Obrador
;