Penutupan ruang udara Sudan dilanjutkan sehingga 31 Julai

Bernama
Julai 10, 2023 13:00 MYT
Pada 15 April, pertempuran berlaku antara Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces. - Gambar fail/ AP
MOSCOW: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 31 Julai, menurut Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.
Dalam notis yang dikeluarkan kepada juruterbang, pihak berkuasa itu memaklumkan bahawa ruang udara Sudan akan ditutup kepada semua penerbangan sehingga akhir bulan ini, kecuali penerbangan kemanusiaan dan pemindahan yang mendapat kebenaran, lapor Sputnik.
Sebelum ini, penutupan ruang udara Sudan dilanjutkan sehingga 10 Julai.
Pada 15 April, pertempuran berlaku antara Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces. Sejak itu, beberapa gencatan senjata sementara telah dicapai, tetapi konflik masih berlarutan.
Bulan lalu, Timbalan Pengerusi Majlis Berdaulat Peralihan Sudan, Malik Agar, berkata ketika pertemuan dengan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, delegasi Sudan telah memohon bantuan Moscow untuk menyelesaikan konflik itu.
-- BERNAMA
#konflik Sudan #lapangan terbang Khartoum #ruang udara #perang saudara
;