Penutupan Boracay dipendekkan, dijangka kembali beroperasi selepas 4 bulan
Agensi
April 11, 2018 14:55 MYT
April 11, 2018 14:55 MYT
Filipina sedang berusaha untuk mengurangkan tempoh penutupan Pulau Boracay, lokasi percutian paling popular di Manila daripada enam kepada empat bulan, tetapi jumlah pelancong akan dikurangkan apabila ia dibuka semula, kata Menteri Pelancongan negara itu hari ini.
Menurut Setiausaha Pelancongan Wanda Teo, pelan induk untuk membangunkan semula pulau terkemuka itu, yang diancam pencemaran, akan mencapai kata muktamad selepas aktiviti pemulihan dilakukan.
"Saya fikir kita dapat melakukannya (pembersihan) dalam masa empat bulan. Itulah sebabnya kami mahu ia ditutup sementara agar kami dapat melakukannya dengan pantas", ujarnya dalam temu bual menerusi saluran berita ANC.
Pulau Boracay yang tidak menerima mana-mana pelancong tempatan mahupun pelancong asing bermula 26 April, menghadapi impak sama seperti yang dihadapi banyak kawasan pantai terkemuka lain di seluruh Asia Tenggara, ekoran peningkatan pengunjung.
Kerajaan FIlipina berhasrat untuk menyelamatkan pulau kecil ini yang menjana 56 bilion peso (RM4.17 bilion) pada tahun lepas namun tidak dapat mengatasi ketegangan yang dihadapi apabila pulau berkenaan menerima kira-kira dua juta pelancong setahun.
Teo berkata, jumlah pengunjung ke Boracay yang pada sedekad yang lalu hanya mampu menampung kira-kira 25,000 orang, akan dihadkan. Namun begitu, bilangan pengunjung ke pulau itu kini mencecah sehingga 75,000 orang.
Satu badan kini sedang menjalankan kajian di persekitaran tersebut demi mengenal pasti jumlah kapasiti yang wajar untuk kunjungan ke pulau tersebut.
Usaha membaik pulih kini melibatkan perobohan lebih daripada 900 struktur haram selain penambahbaikan sistem pengurusan sisa, serta sistem saliran dan kumbahan.
Boracay, dengan lokasi yang terletak di hujung bahagian utara Pulau Panay, menempatkan lebih daripada 30,000 orang dan kira-kira 1,800 perniagaan, termasuk hotel-hotel bertaraf lima bintang seperti Shangri-La dan Movenpick.
Boracay sangat popular dengan daya tarikannya yang mempunyai pasir putih bersih serta aktiviti waktu malam yang meriah.
Namun, di sebalik populariti pulau ini, kira-kira 195 perniagaan didapati telah membuang sisa kotoran ke laut lantas mencemarkan kawasan yang terlibat, menyebabkan peningkatan najis kumbahan manusia di sepanjang pantai.
"Boracay telah menjana 90 hingga 115 tan sampah pada setiap hari, yang mana hanya 30 tan dihantar secara berkala ke tapak pelupusan di sebuah pulau berdekatan," kata Teo.
Teo turut menjangkakan kerugian yang bakal ditanggung hanyalah sekitar 7 bilion peso (RM521.6 juta), atau lebih rendah, jika tempoh penutupan dikurangkan kepada empat bulan.