Penunjuk perasaan tuntut siasatan tragedi Stadium Kanjuruhan

Astro Awani
November 11, 2022 08:45 MYT
Ribuan orang awam menghadiri perhimpunan bagi memperingati 40 hari selepas tragedi di Stadium Kanjuruhan susulan perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Malang, Indonesia. - Foto REUTERS
MALANG: Berpuluh-puluh ribu rakyat Indonesia berhimpun menuntut keadilan dan siasatan menyeluruh terhadap kejadian rempuhan di Stadium Bola Sepak Kanjuruhan yang menyebabkan 135 orang terbunuh bulan lepas.
Penyokong Arema FC memulakan perhimpunan dengan bacaan doa di bandar Malang, Jawa Timur ketika mereka memperingati 40 hari sejak tragedi itu berlaku.
Penganjur menyifatkan peristiwa yang membawa kepada kematian penonton bola sepak sebagai pencabulan hak asasi manusia.
Mereka mendesak individu bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan kerana mengakibatkan tragedi tersebut.
Penunjuk perasaan merancang untuk melawat beberapa mercu tanda di Malang, termasuk Stadium Bola Sepak Gajayana, Dataran Bandar Malang dan Dewan Bandaraya Malang.
Datuk Bandar Malang Sutiaji, bertemu dengan peserta dan mengucapkan terima kasih atas perhimpunan aman itu.
Tragedi | Protes tuntut siasatan rempuhan di Stadium Kanjuruhan
Pegawai kerajaan di Malang memakai pakaian hitam selama dua hari untuk menandakan 40 hari sejak tragedi sukan kedua terburuk di dunia itu.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Rusuhan Stadium Kanjuruhan kejadian kedua terburuk dalam sejarah dunia
Pasukan penyiasat yang ditubuhkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo bulan lalu menyimpulkan bahawa gas pemedih mata adalah punca utama membawa kepada insiden berkenaan.
Antara lain ia maklumkan, polis yang bertugas tidak mengetahui bahawa penggunaan gas pemedih mata adalah dilarang di stadium bola sepak dan menggunakannya 'secara sembarangan' di atas padang dan di luar stadium.
Ini menyebabkan lebih 42,000 penonton di dalam stadium itu tergesa-gesa mencari pintu keluar.
#Stadium Kanjuruhan #siasatan #tragedi #himpunan aman
;