Penunjuk perasaan seluruh AS desak pembebasan aktivis Palestin Mahmoud Khalil
Bernama
Mac 16, 2025 14:15 MYT
Mac 16, 2025 14:15 MYT
Penunjuk perasaan berarak membantah penahanan aktivis Palestin Mahmoud Khalil oleh ICE semasa protes berhampiran ASU di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat, pada 15 Mac 2025. -Reuters
WASHINGTON: Penunjuk perasaan berkumpul pada Sabtu di luar ibu pejabat Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di Washington, DC untuk mendesak pembebasan aktivis Palestin Mahmoud Khalil, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Penunjuk perasaan berkumpul di luar ibu pejabat ICE di Washington, DC dan di New York City untuk mendesak pembebasan aktivis Palestin Mahmoud Khalil, yang ditahan oleh ejen ICE pada 8 Mac.
- Khalil, lulusan Universiti Columbia dan pemegang kad hijau, dituduh terlibat dalam "aktiviti yang selari dengan Hamas" tanpa bukti dan kini ditahan di pusat tahanan ICE di Louisiana.
- Peguam Khalil berhujah bahawa penahanannya bermotifkan politik dan merupakan sebahagian daripada tindakan keras terhadap demonstrasi pro-Palestin.
Khalil, pemegang kad hijau dan lulusan Universiti Columbia baru-baru ini membantu menganjurkan protes di kampus pada tahun lepas.
Penunjuk perasaan kemudiannya berarak di jalan raya sambil melaungkan slogan: "Kami mahukan keadilan, anda katakan bagaimana. Bebaskan Mahmoud Khalil sekarang!" dan "Bebaskan semua pelajar hari ini."
Ramai yang membawa sepanduk bertulis: "Bebaskan Palestin", "Bebaskan Mahmoud Khalil" dan "ICE keluar dari kampus kami."
Protes juga diadakan di New York City, di mana penunjuk perasaan berkumpul di Times Square sebelum berarak ke Columbus Circle.
Penganjur mengutuk penahanan Khalil, menegaskan haknya untuk membantah adalah dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS.
"Serangan terhadap Mahmoud Khalil bukan serangan ke atas seorang individu, ia adalah serangan terhadap setiap orang yang berani bangkit dan bersuara untuk keadilan," kata seorang penunjuk perasaan.
Graduan Universiti Columbia itu ditahan oleh ejen ICE pada 8 Mac di apartmen milik universitinya.
Penahanan itu dilakukan berikutan arahan oleh Setiausaha Negara AS Marco Rubio untuk membatalkan visa pelajar dan kad hijaunya.
Pentadbiran Trump telah menuduh Khalil, yang memainkan peranan penting dalam demonstrasi pro-Palestin di universiti itu tahun lepas, terlibat dalam "aktiviti yang selari dengan Hamas" walaupun tiada bukti dikemukakan.
Beliau kini ditahan di pusat tahanan ICE di negeri Louisiana.
Presiden Donald Trump mempertahankan penahanan itu, menyatakan bahawa kes Khalil adalah "yang pertama daripada banyak lagi" ketika pentadbirannya bertindak untuk mengekang mereka yang menyertai protes menentang serangan Israel di Semenanjung Gaza, yang telah membunuh lebih 48,500 rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Rubio berkata pada Jumaat bahawa AS dijangka membatalkan visa untuk lebih ramai pelajar dalam beberapa hari akan datang.
Peguam Khalil berhujah bahawa penahanannya atas alasan "menggunakan hak Pindaan Pertama, bersuara membela rakyat Palestin di Gaza" adalah bermotifkan politik dan sebahagian daripada tindakan keras terhadap demonstrasi pro-Palestin.
-- BERNAMA