Penunjuk perasaan pro-demokrasi Hong Kong cedera bertempur dengan polis

Agensi
Oktober 19, 2014 08:42 MYT
Antara penunjuk perasaan yang cedera dalam pertempuran terbaru dengan anggota polis Hong Kong. -AFP PHOTO / ANTHONY WALLACE
Tunjuk perasaan pro-demokrasi Hong Kong tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda apabila kumpulan terbabit sekali lagi bertempur dengan pasukan keselamatan pada awal pagi Ahad menyebabkan beberapa penunjuk perasaan cedera.
Perkembangan dilihat bakal menyukarkan lagi rundingan yang bakal diadakan pada Selasa.
Pertempuran terbaru berlaku di kawasan Mongkok di tengah-tengah bandar selepas sekumpulan penunjuk perasaan cuba memecahkan sekatan yang dibina pihak polis.
Keengganan kumpulan pro-demorkrasi mematuhi arahan pihak berkuasa memaksa polis menggunakan belantan untuk menyuraikan mereka.
Pertempuran tercetus kurang 24 jam selepas pentadbiran Hong Kong menyatakan kesediaan untuk berunding dengan kumpulan berkenaan.
Rundingan dijadual berlangsung Selasa ini, dengan kedua-dua pihak bakal menghantar lima wakil.
Pusat kewangan Asia itu telah dicemari tunjuk perasaan sejak awal Oktober yang dihadiri oleh ribuan penunjuk perasaan pro-demokrasi yang menuntut peletakan jawatan Ketua Eksekutif Hong Kong yang dilantik Beijing, Leung Chun-ying.
Beijing sehingga kini tetap berkeras sebarang calon yang akan menggantikan Leung seharusnya mendapat kelulusan jawatankuasa pilihan raya 2017 yang dipantau pihak kerajaan di Tanah Besar.
Cadangan itu bagaimanapun ditolak oleh penunjuk perasaan yang menggelarnya sebagai “demokrasi palsu”.
#demokrasi #Hong Kong #Mongkok #Penunjuk perasaan #pertempuran
;