Penunjuk perasaan lanjutkan protes 'Indonesia Gelap' lawan dasar Prabowo

Astro Awani
Februari 22, 2025 08:00 MYT
Protes pada Jumaat adalah sebahagian daripada siri demonstrasi yang telah berlangsung di beberapa bandar utama sepanjang minggu ini. - Foto AP
JAKARTA: Ratusan mahasiswa dan aktivis turun ke jalan di beberapa bandar utama pada Jumaat dalam protes digelar sebagai “Indonesia Gelap”.
Ini bagi membantah polisi Presiden Prabowo Subianto, termasuk pemotongan perbelanjaan sebanyak RM85.5 bilion yang dikatakan menjejaskan sistem sokongan mereka.
Berpakaian serba hitam ketika langit semakin gelap dan hujan mula turun, para penunjuk perasaan berkumpul di jalanan berhampiran Istana Presiden di Jakarta.
Mereka juga menyebut tentang "kucing pertama" kesayangan Prabowo, dengan sindiran bahawa jika haiwan itu boleh bercakap, ia juga akan menyertai protes.
Protes pada Jumaat adalah sebahagian daripada siri demonstrasi yang telah berlangsung di beberapa bandar utama sepanjang minggu ini.
Nama “Indonesia Gelap” mencerminkan ketidakjelasan dan kesuraman dasar-dasar yang diperkenalkan, menurut Herianto, seorang pemimpin mahasiswa yang menyertai tunjuk perasaan itu.
Antara polisi yang ditentang ialah program utama Prabowo yang memberikan makanan percuma kepada pelajar.
Untuk membiayai inisiatif itu, beliau telah mengarahkan pemotongan perbelanjaan sebanyak RM85.5 bilion, yang melibatkan pengurangan dalam perbelanjaan perjalanan, perunding, latihan dan alat tulis kerajaan.
Di Surabaya, bandar kedua terbesar di Indonesia, ratusan orang turut mengadakan demonstrasi.
Protes tersebut termasuk persembahan teater jalanan di mana seorang peserta berguling-guling di tanah sebagai simbol kemiskinan.
Mahasiswa juga membantah penglibatan ketenteraan dalam kerja-kerja awam serta kekurangan subsidi gas memasak.
Gelombang protes ini berlaku hanya empat bulan selepas Prabowo memenangi pilihan raya dengan kemenangan besar dan menjadi presiden kelapan Indonesia.
#protes #Indonesia Gelap #Prabowo Subianto #pemotongan perbelanjaan
;