Penunjuk perasaan Korea Selatan berhimpun menjelang undi pemecatan Presiden kali kedua

Agensi
Disember 14, 2024 13:30 MYT
Penunjuk perasaan membawa sepanduk dan papan tanda menggesa penahanan Suk Yeol. - Gambar/ Reuters
SEOUL: Penunjuk perasaan berhimpun di luar Dewan Perhimpunan Nasional Korea Selatan menjelang undi pemecatan kedua Presiden Yoon Suk Yeol pada Sabtu, susulan tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera yang kemudian dibatalkan, sekali gus mencetuskan krisis politik.
Dalam pada itu, beberapa ahli parlimen dilihat berada di luar kompleks mengeluarkan kenyataan dan melaungkan slogan sebelum memasuki kawasan berkenaan.
Penunjuk perasaan turut membawa sepanduk dan papan tanda menggesa penahanan Suk Yeol yang mana seorang penunjuk perasaan turut hadir bersama dua anjing yang memakai tanda anti-Yoon.
Ahli Parlimen Korea Selatan akan mengundi buat kali kedua hari ini, bagi memutuskan sama ada untuk memecat Suk Yeol.
Seminggu selepas cubaan pertama untuk menyingkirkan Suk Yeol berhubung kegagalan undang-undang tentera menemui jalan buntu, Dewan Perhimpunan Negara akan mengadakan undian sekitar jam 4 petang (5 petang waktu tempatan) untuk memutuskan sama ada untuk memecatnya atas tuduhan pemberontakan yang merosakkan peraturan Perlembagaan.
Suk Yeol berikrar untuk melawan hingga detik terakhir dan terus mengulangi dakwaan yang tidak terbukti bahawa pembangkang bersekongkol dengan musuh komunis negara itu.
Ribuan rakyat Korea Selatan turun ke jalanan di Seoul untuk menuntut peletakan jawatan dan penahanan Suk Yeol selepas pengisytiharan undang-undang tentera yang hanya bertahan seketika menyebabkan tentera dan helikopter dihantar ke Parlimen minggu lalu.
#Korea Selatan #Penunjuk perasaan #Yoon Suk Yeol #krisis politik
;