Penunjuk perasaan ingkar larangan berhimpun, terus berdemonstrasi di Bangkok
Bernama
Oktober 19, 2020 05:46 MYT
Oktober 19, 2020 05:46 MYT
BANGKOK: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di tiga lokasi di Bangkok sekali gus mengingkari larangan untuk menyertai demonstrasi pada hari kelima.
Berbekalkan notis singkat daripada penganjur, para penunjuk perasaan berhimpun di persimpangan Kasetsart di Bangkok dan stesen Transit Aliran Metropolitan (MRT) Kementerian Kesihatan Awam.
Mereka turut berhimpun di Penjara Reman Bangkok di mana pemimpin pelajar dan aktivis ditahan.
Para penunjuk perasaan mengulangi tuntutan mereka yang mahukan perubahan politik termasuk peletakan jawatan perdana menteri, pembubaran parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi institusi monarki.
Penganjur tunjuk perasaan hari ini tidak mengumumkan venue lebih awal bagi mengelak campur tangan pihak berkuasa.
Pada masa sama, demonstrasi turut dirancang diadakan di wilayah lain termasuk Nakhon Pathom, Buriram, Khon Kaen dan Chiang Mai.
Pada Khamis, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengisytiharkan bahawa terdapat 'Situasi Darurat yang Serius di Bangkok' bagi melarang perhimpunan lima orang atau lebih yang berkuat kuasa pada 4 pagi (waktu tempatan) dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan pimpinan pelajar yang berlangsung selama tiga bulan.
Selain itu, ia turut melarang penerbitan berita dan mesej lain secara dalam talian yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan menimbulkan kebimbangan atau menyebarkan maklumat palsu.
Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan sekurang-kurangnya 21 penunjuk perasaan yang ditahan antara 13 hingga 16 Okt semasa tunjuk perasaan di Bangkok diikat jamin.
Tiga pemimpin pelajar iaitu Parit Chivarak, Panusaya Sithijirawattanakul dan Nutchanon Pairoj dijangka dibebaskan esok.
#Bangkok
#protes
#demonstrasi
#tunjuk perasaan
#Transit Aliran Metropolitan
#MRT
#perhimpunan
#Kasetsart
#Penunjuk perasaan