Penunjuk perasaan berhimpun di pekarangan PBB, bantah konflik India-Pakistan

Astro Awani
Februari 28, 2019 06:44 MYT
Penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat PBB di New York, 28 Feb, 2019. (Foto AP)
Kira-kira 150 penunjuk perasaan berkumpul di pekarangan pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini bagi membantah keganasan dan konflik yang berlaku antara India dan Pakistan.
Kumpulan ini juga memfailkan memorandum kepada Penolong Setiausaha Agung PBB memohon agar badan dunia itu menyokong satu referendum diadakan di kawasan yang menjadi pertikaian.
"Kami menyerahkan memorandum kepada Penolong Setiausaha Agung PBB menyatakan Punjab yang dikuasai India dan Kashmir tidak mahu peperangan tetapi kami mahu satu referendum yang disokong PBB," kata Penasihat Undang-undang Gurpatwant Singh Pannun.
Badan dunia itu ketika ini sedang dalam usaha mengurangkan ketegangan antara kedua-dua negara.
Protes berlangsung ketika pertempuran terjadi antara tentera India dan Pakistan di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai Line of Control yang memisahkan Kashmir daripada dua negara itu.
Kuasa besar dunia telah menyeru PBB supaya menghentikan ketegangan yang melanda rantai itu sejak satu kejadian pengebom bunuh diri pada 14 Feb lalu yang mengakibatkan lebih 40 anggota tentera India di Kashmir maut.
India bertindak balas dengan melakukan serangan udara terhadap Pakistan pada Selasa, yang pertama sejak kedua-dua negara itu berperang pada 1971 merebut kawasan yang dikenali sebagai Bangladesh.
Situasi menjadi semakin buruk susulan pertempuran udara pada Rabu, yang menyaksikan Pakistan menembak jatuh dua pesawat pejuang India di Kashmir, salah satu daripadanya terhempas di kawasan yang dikuasai Pakistan dan satu lagi di kawasan yang dikuasai India.
Sejak kemerdekaan India dan Pakistan pada 1947, Kashmir di rantau sempadan Himalaya menjadi perebutan kedua-dua negara.
#Bangladesh #India #keganasan #konflik #Pakistan #PBB #Penunjuk perasaan #pesawat #protes #serangan #tentera #terhempas
;