Penunjuk perasaan Bangladesh bakar, roboh kediaman keluarga bekas PM Sheikh Hasina

Bernama
Februari 6, 2025 19:15 MYT
Kerja-kerja merobohkan bangunan itu bermula pada 11.30 malam, Rabu (5 Feb), susulan serangan api di tingkat tiga sekitar 9 malam. - Gambar/ Reuters
DHAKA (Bangladesh): Kediaman Dhanmondi 32 di Dhaka mula runtuh akibat hentaman jentolak lewat malam Rabu, selepas kebakaran tercetus di tingkat tiga bangunan itu pada sebelah malamnya, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Dhanmondi 32 merupakan kediaman bersejarah milik Sheikh Mujibur Rahman, bapa pengasas Bangladesh, yang menjadi lokasi penting dalam sejarah negara itu.
Kerja-kerja merobohkan bangunan itu bermula pada 11.30 malam, Rabu (5 Feb), susulan serangan api di tingkat tiga sekitar 9 malam.
Terdahulu, pada kira-kira 10.30 malam, sebuah kren dibawa ke lokasi, diikuti jentolak tidak lama kemudian. Api marak membakar sebahagian bangunan itu ketika orang ramai menyaksikan kejadian tersebut.
Sebaik sahaja kren diposisikan, ramai yang memanjatnya sambil bersorak dan melaungkan slogan seperti "Runtuhkan rumah Sheikh Mujib, ranapkan ke tanah." Sebilangan penunjuk perasaan turut menuntut Sheikh Hasina dihukum mati.
Insiden itu berlaku bertepatan dengan enam bulan pemergian Sheikh Hasina dari Bangladesh selepas digulingkan menerusi gerakan massa.
Sejak 8 malam, orang ramai mula berkumpul di luar kediaman itu. Ketika jumlah mereka semakin meningkat, ketegangan memuncak, menyaksikan penunjuk perasaan merempuh pintu pagar dan menceroboh masuk. Berbekalkan kayu serta tuil besi, mereka aktif melakukan kemusnahan.
Aktivis pelajar dan kempen dalam talian yang terlibat dalam kebangkitan rakyat pada Julai lalu mengumumkan bahawa perobohan akan bermula tepat ketika Sheikh Hasina dijadualkan menyampaikan ucapan. Namun, serangan itu berlaku lebih awal, kira-kira jam 8 malam.
Pada 7 malam, Hasnat Abdullah, penyelaras Gerakan Pelajar Antidiskriminasi, memuat naik hantaran di Facebook: "Malam ini, Bangladesh akan bebas daripada tempat pemujaan fasisme."
Dhanmondi 32 mempunyai nilai sejarah sebagai kediaman tempat Sheikh Mujibur Rahman memainkan peranan penting dalam membimbing negara sebelum Perang Pembebasan.
Pada 15 Ogos 1975, Mujib bersama isteri, anak lelaki, menantu perempuan, serta ahli keluarga lain dibunuh di rumah ini. Lokasi itu kemudian diubah menjadi muzium peringatan.
Selepas kejatuhan kerajaan Liga Awami dalam kebangkitan rakyat pada Julai lalu, penunjuk perasaan telah menyerang dan membakar rumah itu pada 5 Ogos.
-- BERNAMA
#Bangladesh #tunjuk perasaan #Sheikh Hasina #bakar rumah
;